Mohd Fadzil

Month: December 2009

SAYA MUNDUR KE BELAKANG

SAYA MUNDUR KE BELAKANG

Artikel ini tulisan Dr. Puad Zarkashi Timbalan Menteri Pelajaran tersiar di blognya pada 22 Nov 2009

Hari ini akhbar STAR menyiarkan, pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan saya mengenai isu penggunaan Bahasa Melayu disektor swasta dan GLC. Sebenarnya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu’ saya mencadangkan supaya GLC dan sektor swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah mereka. Bahkan saya juga menyebut, akan memulangkan surat surat sektor swasta yang dihantar ke pejabat saya yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Pada saya, kenapa mereka mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalau bermesyuarat sesama rakyat Malaysia gunakanlah Bahasa Melayu. Barulah pembudayaan bahasa Melayu dapat ditingkatkan. Mustahil rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Mereka tuduh, saya mundur ke belakang. Hujah mereka lagi, ini bertentangan dengan seranan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Pelabur asing tidak akan datang ke negara kita dan Malaysia akan dipinggirkan. Ini yang saya kata budaya orang Malaysia amat pelik. Kenapa bila kita berjumpa sesama kita rakyat Malaysia mesti berbual dalam bahasa Inggeris. Apakah itu life style untuk menunjukkan kita maju. Atau menunjuk nunjuk kita adalah educated. Salahkah kita menunjuk nunjuk dan rasa bangga bila menggunakan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kenapa bila kita bermesyuarat sesama kita mesti menggunakan bahasa Inggeris? Apa kena mengena dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.
Kalau nak tarik pelabur asing atau bermesyuarat dengan pelabur asing, gunalah bahasa Inggeris. Memang itu pun kegunaan bahasaInggeris. Kerana ia bahasa antarabangsa. Saya pun tidak membantahnya. Yang saya tegur, mesyuarat mesyuarat rasmi GLC dan sektor swasta, termasuk mesyuarat senate di universiti universiti tempatan. Gunalah Bahasa Melayu. Taatlah sikit kepada bahasa kebangsaan sendiri. Apa kena mengena dengan produktiviti kita. Bahkan apabila ia menjadi modal sosial dan modal budaya kita, semangat kekitaan itulah yang menjadikan kita lebih bedaya saing dan ada jati diri.
Perancis, Jepun, China dan Korea begitu taat kepada bahasanya. Keempat empat negara tersebut adalah negara maju. Kita sendiri kagum dengan mereka. Saya tidak membangkitkan pun isu patriotisme. Itu bukan hujah saya. Taat yang saya maksudkan ialah keyakinan kepada jati diri sendiri. Saya tidak kata mereka tidak patriotik, tetapi mereka mungkin kabur soal pentingnya bahasa sendiri sebagai modal sosial dan modal budaya. Sebab itu saya setuju dengan tokoh bahasa seperti Dato Hassan Ahmad bila berhujah kaitan bahasa dan kemajuan.
Sekarang ini ada 45 negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Tolak Britain, Amerika, Australia, New Zealand dan Kanada tinggal 40 negara. Kebanyakan 40 negara yang menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Ghana, Zambia dan Zimbabwe adalah cukup miskin. Bahasa Perancis digunakan di 30 negara. Tolak Perancis, Queebec, Belgium dan Switzerland, tinggal 26 negara. Tetapi apakah negara negara seperti Ivory Coast, Mali, Togo, Haiti dan Chad adalah negara maju? Begitu juga bahasa Sepanyol. 30 negara menjadikannya bahasa rasmi, terutamanya di Amerika Selatan. Kebanyakannya adalah negara yang berpendapatan rendah. Cameroon menjadikan Inggeris dan Perancis sebagai bahasa rasmi, manakala Surinam menjadikan Inggeris dan Belanda sebagai bahasa rasmi. Tetapi kedua duanya tidak dianggap sebagai negara maju.
Jadi belum tentu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi menjadikan negara itu negara maju, meningkatkan pendapatan negara, atau jaminan pelabur asing akan masuk. Menggunakan bahasa Melayu bila bermesyuarat dan berbual sesama kita sendiri bukan langkah mundur ke belakang. Bahkan ia langkah maju ke depan. Beribu doktor dan jurutera yang dilahirkan oleh UKM yang ketika itu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

 

Waktu Yang Hilang

Waktu Yang Hilang

Penulis ( Baju merah), Azmil, Izzati, adik beradikku pada tahun 1995 di Melaka.

Setelah lama tidak menulis sendiri rasanya…. hari ni aku mengikuti ibuku yang kugelar mama ke Seberang Takir yang jauhnya jarak dalam 35km daripada rumahku atas jemputan kenduri perkahwinan sepupuku. Sudah hampir 3 bulan aku tidak keluar dan terperap di rumah. Sepanjang perjalanan aku menyusur kembali saat-saat remajaku berulang-alik buat beberapa ketika sebelum duduk di asrama dari rumah ke Sekolah Teknik Wakaf Tembusu, Seberang Takir. Bermain di benak kepalaku motor Hondacup 70 yang kutunggang dahulu dan sekali sekala bas awam yang kunaiki bila hari hujan. Banyak yang berubah seperti mana diriku yang berubah dalam banyak tahun kebelakangan ini. Ikut sekali adik lelakiku Azmil yang baru sahaja menamatkan pengajian di Maktab Peguruan Islam Bangi. Sepanjang perjalanan asyik mengomel mengenai keputusan keluarga tidak membenarkannya posting ke Sarawak. Terpaksalah menunggu lama untuk posting kembali di semenanjung. Jauh sudut hati aku memahami perasaan mama yang tidak ingin anak kesayangannya itu jauh daripadanya. Mama sudah tua dan setahun lagi akan pencen sebagai guru, manakan membiarkan anak kesayangan dibiarkan duduk di hutan belantara Sarawak. Kalau boleh setiap kali cuti dia ingin anak-anaknya balik ke rumah. Dalam perjalanan singgah di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek mengambil adik perempuanku di asrama yang sedang mengambil SPM untuk di bawa bersama ke kenduri. Melompat adik perempuanku bila kami tiba tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Suprise!! Adikku Azmil keluar kereta sambil berjalan di sekeliling blok. Entah apa yang difikirkan nostalgia lama dia berada di sekolah itu. Pasti banyak kenangan yang disimpan.

 

Penulis bersama ketika latihan drama bagi pementasan Kemerdekaan tahun 2002. Arwah Faruq selaku Pengarah pementasan adalah orang yang memberiku peluang menimba pengalaman.


Fadzil bukan lagi budak hingusan yang selalu di denda di kelas, selalu di rotan di asrama. Yang pernah di buang asrama kerana masalah displin. Tidak lagi rakan-rakan. Hidup hanya pinjaman sekejap sahaja. Kematian Faruq benar-benar menginsafkanku. Aku berubah menjadi lebih baik selepas itu, aku berjaya mengeggam keputusan Diploma di Politeknik dengan kejayaan yang membanggakan. Tidak seperti kalian yang dapat terus ke universiti berkat kerajinan kalian semua dan atas kenakalanku di sekolah layaklah aku ditempatkan di Politeknik. Hari ini aku membuktikan tiada orang yang akan gagal selamanya. Aku kini di menara gading yang diberikan nama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang sudi menerima orang sepertiku.

Penulis ( Berbaju biru sebelah -kanan) bersama kawan-kawan sekelas yang merupakan kawan seasrama bergambar riang di padang ketika mengambil SPM tahun 2002.


Hari ini aku menulis kerana terlintas di benakku ketika melintas di sekolah lama kita. Aku juga beria-ia ingin mengikuti ibuku bagi mengambil sedikit ketenangan setelah membuat keputusan yang sukar hari ini. Aku telah menegur sahabat2ku dengan nada yang keras atas kebaikan mereka. Begitu sukarkah orang lain untuk memahami diriku?Adakah niat baik kita akan disalah ertikan? Tanggungjawab dan amanah ini mula memakan diriku sedikit demi sedikit. Senyuman riangku mula hilang, usia mudaku yang kukorbankan mula memamah hatiku.

Alangkah baiknya kalau Arwah Faruq masih hidup dengan slogan hidupnya yang sentiasa membuat sahabat dekatnya gembira di sekililingnya. Berharap suatu hari nanti dapat ketawa riang seperti hari itu lagi. Auntie Normah ( Ibu Arwah Faruq ) yang baik hati juga pasti bersedih dengan kehilangan anak lelakinya. Aku ketika belajar di Politeknik Dungun kerap juga menziarahi rumah arwah di Dungun dan kuburnya di tepi laut Teluk Gadong, Dungun. Setiap kali aku datang Auntie Normah tidak henti-henti menitiskan air mata kerana ketika arwah masih hidup , aku selalu sahaja tidur, melepak, bermain dengan arwah di rumahnya.

 

Penulis ( kiri sekali ), rakan-rakan, Arwah Faruq ( Baju kuning- dua dari kanan) di hadapan Peta Sekolah Teknik Wakaf Tembusu (2002).

Salam rindu untuk teman-teman persekolahan,

 


Jangan Bunuh Intelektual

Jangan Bunuh Intelektual Artikel ini tulisan Datuk Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersiar di Utusan Malaysia 27 Nov 2009 Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) dan saya (kanan) bergambar kenangan semasa lawatan MPP UTHM ke KPT
Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.
Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah

“orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya”.

Menurutnya lagi,

“Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya.”

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:

• Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.
• Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.
• Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.
• Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.
• Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.
• Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.

Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:

• Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
• Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.
• Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
• Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
• Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.
• Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.
• Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan “mencerca”, tetapi “mengkritik”, yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.

Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara “intelektual” dan “ulama“? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, “pengislaman ilmu” oleh Ismail Faruqi dan “mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual” oleh Mohd Natsir?

• Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.
• Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
• Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.
• Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.
• Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.
• Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.


Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

sumber: Utusan Online
sumber: Datuk Saifuddin Abdullah

MaRi BeLaJaR iLMu iKhLaS

MaRi BeLaJaR iLMu iKhLaS
“Mari ku ajarkan ilmu ikhlas.” Kata seorang guru kepada anak muridnya. “Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis,” “Tak payah, bawa sahaja karung guni” “Karung guni?” Kata anak muridnya seolah-olah tidak percaya. “Mari kita ke pasar!” Dalam perjalanan ke pasar mereka melalui jalan yang berbatu-batu. “Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam karung guni itu.” Kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan. “Cukup?” “Belum. Isi sampai penuh karung guni itu.” Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa.

Hanya belegar-legar dan melihat-lihat kemudian beredar ke luar. “Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?” “Tidak. Bukankah karung gunimu sudah penuh?” “Ya,ya…” Kata si murid, agak kelelahan. “Banyak Beli barang.” Tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan penuh. “wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli.” Kata seseorang. “Agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot,” Kata yang lain pula. Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka,si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. “Oh,sungguh letih! Apa yang kita hendak buat dengan batu-batu ini tuan guru?” “Tak buat apa-apa” “Eh,kalau begitu letih sajalah saya.” Balas anak murid. “Letih memang letih tapi kamu dah dapat ilmu ikhlas” “Ikhlas?” Tanya anak murid kehairanan. “kamu dah belajar apa akibatnya kalau tidak ikhlas dalam beramal” “Dengan memikul batu-batu ini?” “Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi yang memuji kamu banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan,tetap hanya batu-batu.” “Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini? “Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah, yang kamu dapat, hanyalah penat.” “ya, sekarang saya faham apa akibatnya beramal tetapi tidak ikhlas!” Ujar si murid.

Pengajaran: Ramai manusia yang tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia juga terseksa di akhirat.