Mohd Fadzil

Month: June 2011

Sekolahku, Rumahku – Satu Memori Indah

Sekolahku, Rumahku – Satu Memori Indah

2002 – SMTWT/SMVKT , 5 PKE

2011, SMVKT – Bersama Cikgu Nasir, bekas guru saya pada tahun 2002

Bagai sirih pulang ke ganggang adalah ayat paling sesuai apabila saya kembali ke sekolah sebagai guru di mana ini merupakan sekolah sy bergelar seorang pelajar dahulu.
Cikgu Nasir merupakan guru kelas saya dahulu kini merupakan rakan setugas sebagai guru bengkel elektrik.

Banyak kenangan indah di sekolah ini semasa saya bergelar pelajar. Antara salah satunya kerana saya masuk di sekolah ini semasa Tingkatan 5. Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik Jasin, Melaka dan berpindah ke Terengganu mengikut keluarga. Antara yang kelakar kerana saya cakap bandar atau “luar”, maka bebudak kelas ni semua cuba cakap KL dengan sy. Kan bunyinya sangat pelik dan lucu.

Ini contoh bila orang Ganu cakap KL ;

1.Semalan tidur tak pasang ubat nyamak.Habis merah-merah badan kena kentit nyamak
2.Eeee…banyaknya nyamak.Beberong
3.Banyaknya… pasu kat sini.Bercotet aret.
4.Nak fotostat kertas ni dua helai.Nak selalu
5.Saje je nak gerak sampah ni.Daun-daun berkuban anyaa.
6.Aku pelankun dengan centon ni karang,bengkok combon
7.Kenapa tak royak aku awal-awal?sentok karun pa..
8.Cuba buat lari baldi tu sekejap
9.Dahi aku bincut terlanggar pintu
10.Masam reban mempelan ini
11.Kak,keropok singget,buat samah-samah
12.Sorry,i tak sengeleng lalu kat sini.
13.Awak,tolon beli Meggi, belan-belan awak pergi kedai.
14.Engkau nak ke takmboh?
15.Awak,gula-gula ni sedap.Nak cuba sutir?
16.Abang,air kelapa satu.”Air nya xde la dik,tak dan nak kerabat”.
17.Eh,kacang ni,menempus pulak.
18.Acit,tulun rebus tela 3butir..

^^

Hari Terbuka & Karnival Ko-Kurikulum Sekolah (30 Jun 2011)

Seminggu sebelum ini saya telah diberikan tugas membuat satu projek untuk bengkel Elektrik sempena Hari Terbuka & Karnival Ko-Kurikulum Sekolah (30 Jun 2011).

Ketua Bengkel, Cikgu Zainal memintaku membuat satu projek untuk menarik minat pengunjung bengkel sempena Hari Terbuka & Karnival Ko-Kurikulum Sekolah (30 Jun 2011). Cemas jugak saya dibuatnya, tanpa pengalaman agak ragu-ragu juga samaada proposal projek ini di terima atau tidak. Setelah pembentangan dan perbincangan dengan bantuan guru-guru bengkel lain iaiatu Cikgu Wan Zuhal, Cikgu Nasir. Akhirnya projek ini di terima dan dilaksanakan. Hasilnya ;

Projek Keseluruhan Yang Telah Siap

Ini Laporan Ringkas Projek Ini, Boleh Copy Paste Kalau Nak ;

Gambarajah Skematik ( Tidak mengikut piawai skematik komponen kerana hanya lakaran kasar yang dibuat dalam Microsoft Word )

Nama Projek : Permainan Menguji Kecekapan

Bahan : (1) Pengatur Litar Miniatur (PLM)
(2) Kabel 1.0 mm
(3) Punat Tekan
(4) Contactor Penyentuh
(5) Timer
(6) Tiub Copper
(7) Buzzer
(8) Power Supply DC
(9) Kuar
(10) Connector
(11) Papan
(12) Sesentuh tambahan

Kendalian :

(1) Apabila bekalan kuasa AC 240V dibekalkan, Litar akan mula berfungsi apabila Punat Tekan Hidup ” Hijau” di tekan,. Gelung dalam contacter akan mendapat aruhan tenaga menyebabkan sesentuh tambahan Normally Open (NO) akan tertutup.
(2) Suis NO tersebut akan memicu bekalan kuasa pada Timer ( Pemasa). Pemasa yang telah di set contohnya selama 15 saat, maka akan menyebabkan Buzzer Pemasa yang mendapatkan bekalan kuasa DC akan berbunyi selepas 15 saat.
(3) Bagi kendalian Buzzer sesentuh, akan berfungsi apabila kuar Tiub Cooper bersentuh dengan Tiub Copper maka Buzzer tersebut akan berbunyi.

Kendalian Permainan ;

(1) Pemain akan menggunakan kuar melalui halangan berbentuk Tiub Copper. Sekiranya kuar tersebut menyentuh Tiub Copper maka buzzer akan berbunyi dan pemain tersebut akan gagal.
(2) Selain itu, pemain akan mempunyai masa berdasarkan set pemasa yang telah ditetapkan contohnya 15 saat maka , sekiranya pemain gagal melalui halangan tersebut, buzzer pemasa akan berbunyi selepas 15 saat dan pemain tersebut di kira gagal.
(3) Menang beerti pemain yang menggunakan kuar melalui halangan tiub copper pergi kehujung dan kembali ke asal tempat kuar bermula. Pemain tersebut akan di kira sebagai pemenang.

Pengunjung Pelajar Tadika Menyukai Projek “Permainan Menguji Kecekapan”

Bergambar kenangan dengan murid tadika yang melihat projek ini.

Bergambar kenangan dengan pembantu pelajar SMVKT yang menjaga projek ini.

Sajak

” Dia Seorang Guru”

Dia seorang guru tua sebuah sekolab
terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganiaran upah
tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah

yang mengangkat harga diri dan maruah
dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
dengan kelkhlasan had dan pasrah
dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah.
Dia seorang guru pengganti ayah ibu
dia seorang guru pembentuk generasi baru
dia seorang guru pembina insan sepadu
dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
yang terus hidup sepanjang waktu
diimbau berbunyi dilihat bertemu.

Ismail Haji Adnan
1989

 

Takdir? Jangan Bersedih kerana Ketetapan Allah S.W.T itu ada Hikmahnya.

Takdir? Jangan Bersedih kerana Ketetapan Allah S.W.T itu ada Hikmahnya.
Gambar kenangan penulis bersama anak-anak masyarakat Islam Kemboja. Terfikir kenapa takdir umat Islam kemboja sebegini. Persoalan yang masih tiada jawapan. Bagaimana Palestin? Afghanistan? Iraq?


Apakah Al-Qadar baik itu dari Allah?

Kita wajib beriman mengenai al-Qadhaa’ dan Al-Qadar, maka sudah tentu, tidak ada sesuatu perkara pun yang tidak terlepas dari pengetahuan Allah swt, baik secara umum atau secara terperinci. Persoalannya ialah, Apakah al-Qadar itu meliputi perkara yang buruk? Syiekh Ibn Utsaimin mengatakan bahawa “qadar Allah tidak ada sesuatu yang buruk, akan tetapi keburukan itu terdapat pada yang ditakdirkan.”. Allah swt melakukan sesuatu dengan mempunyai tujuan kebaikkan didalamnya, cuma sebagai hamba Allah swt tidak semua hikmah sesuatu takdir dapat kita ketahui rahsianya. Begitu juga jika dilihat dari qadar Allah yang umum, diturunkan dengan sebab-sebab kebaikan yang umum; contoh di turunkan Nabi Muhammad saw untuk kesejahteraan sekalian alam, firmannya :-

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. – [al-Anbiya’ 21:107]

Berkata Ibn Qayyim berkenaan dengan al-qadar :-

إنه سبحانه حكيم ، لا يفعل شيئاً عبثاً ولا لغير معنى ومصلحة وحكمة ، وهي الغاية المقصودة بالفعل ، بل أفعاله سبحانه صادرة عن حكمة بالغة لأجلها فَعَل ، كما هي ناشئة عن أسباب بها فعل ، وقد دل كلامه وكلام رسوله صلى الله عليه وسلم على هذا
“Sesungguhnya Allah swt Maha Bijaksana, tidak melakukan sesuatu sia-sia atau melakukan perkara yang tidak ada faedah, perbuatannya mempunyai matlamat, bahkan perbuatannya adalah hasil dari Maha Bijaksana, sebagaimana hasil dari sebab perbuatan, ini dinyatakan dari perkataannya dan perkataam Rasulullah saw”

Apakah usaha dan pilihan manusia masih didalam lingkungan al-Qadar?

Beriman dengan al-Qadhaa’ dan Al-Qadar tidak berlawanan dengan keupayaan manusia boleh memilih dan berusaha. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan :-

فإن كل إنسان يعلم أن له مشيئة وقدرة بهما يفعل وبهما يترك ، ويفرق بين ما يقع بإرادته كالمشي ، وما يقع بغير إرادته كالارتعاش ، لكن مشيئة العبد وقدرته واقعتان بمشيئة الله تعالى وقدرته ، لقول الله تعالى : ( لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَقِيمَ – وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ ) التكوير /28-29.
ولأن الكون كله ملك لله تعالى فلا يكون في ملكه شيء بدون علمه ومشيئته .

“Setiap insan tahu bahawa mereka mempunyai keinginan dan keupayaan melakukan apa yang dia mahu atau tidak, dia boleh membezakan antara perkara-perkara yang berlaku apabila ia mahukannya, seperti berjalan, dan perkara yang berlaku kepadanya tanpa ia kehendaki, seperti mengigil. Akan tetapi kehendak dan keupayaan manusia tertakluk kepada al-Qadar Allah swt, firman Allah :-

“Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”- [al-Takweer 81:28-29]

Keseluruhan alam ini adalah milik Allah, dan tidak ada sesuatu pun boleh berlaku didalam pemilikannya tanpa pengetahuan dan kehendaknya” – tamat petikan

Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam membicarakan masalah ini mengatakan :-

إن الأخذ بالأسباب لا ينافي في القدر بل هو من القدر أيضا
“mencari sebab (atau memilih) tidak menafikan al-Qadar, bahkan ia termasuk al-qadar juga”

Contohnya: orang yang sakit berusaha mencari ubat, ini juga dinamakan qadar. Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan : Ketika Rasulullah saw ditanya mengenai ubat dan sebab-sebab atau usaha yang mungkin dapat melindungi seseorang dari sesuatu yang tidak diingini dapat menolak takdir Allah swt, baginda menjawab dengan jelas “Ini termasuk qadar (takdir Allah juga” (هي من قدر الله)- Hadith riwayat Ibn Majah dan Tirmudzi.

Ketika berlakunya wabak di Syam, Umar ra bermesyuarat dengan para sahabat dan beliau telah mengambil keputusan untuk tidak masuk ke Syam dan pulang kepada kaum muslimin. Mendengar keputusan tersebut, seorang sahabat bertanya :

أتفر من قدر الله يا أمير المؤمنين؟ قال: نعم، نفر من قدر الله إلى قدر الله، أرأيت إن نزلت بقعتين من الأرض، إحداهما مخصبة والأخرى مجدبة، أليس إن رعيت المخصبة رعيتها بقدر الله، وإن رعيت المجدبة رعيتها بقدر الله؟
“Apakah engkau hendak lari dari Qadar Allah Ya Amirul Mukminin?” Berkata Umar “Ya, Lari dari Qadar Allah kearah Qadar Allah [juga], Apakah pandangan anda jika engkau turun pada dua petak tanah, yang satu subur dan yang satu gersang (kering kontang), bukankah jika engkau membajakan yang subur bererti engkau membajakan dengan qadar Allah? dan jika engkau membajakan yang tandus bererti engkau membajakkan dengan qadar Allah?”

Kesimpulannya, al-Qadar Allah semuanya baik, sesuai dengan sifat kesempurnaan, Allah swt tidak akan melakukan sesuatu itu dengan sia-sia sahaja. Persoalan Qadhaa’ dan Qadar ini merupakan salah satu Rahsia Allah swt yang tidak mungkin dapat diketahui oleh umatnya secara terperinci. Kita memahami konsep Al-Qadar melalui Al-Quran dan juga hadith Nabi saw yang sahih oleh kerana sedikit sangat yang kita tahu mengenai al-qadarnya. Memadailah 4 perkara yang dipaparkan diatas merangkumi skop-skop yang perlu kita Imani didalam Qadhaa’ dan Qadar. WA.

Ulasan saya :

Percaya kepada qada’ dan qadar adalah Rukun Iman yang keenam, yang mana umat Islam wajib mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Allah pula bersifat Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, segala yang berlaku adalah dengan ketetapan-Nya. Bagaimanapun, manusia dituntut berusaha dalam kehidupan dan juga dituntut banyakkan berdoa kepada Allah kerana ada ketetapan yang boleh berubah.

Allah juga mahukan kita berusaha sebelum qada’ dan qadar seseorang itu diubah kerana sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Al-Rad: ayat 11)

Dalam persoalan perbezaan takdir dan usaha, analogi yang paling mudah seperti Allah S.W.T telah meletakkan sesuatu mengikut had kemampuan kejadian tersebut, contohnya manusia telah di jadikan tidak boleh menyelam selama berjam-jam mengikut hukum kejadian fizikal badan manusia. Inilah takdir tetapi atas usaha, ikhtiar manusia telah mencipta tangki oksigen yang membolehkan mereka menyelam berjam-jam lamanya.

Samalah dengan pelbagai takdir yang menimpa kita, saya telah di takdirkan mengikut pengajian sekolah formal sejak kecil lagi. Manalah sama dengan mereka yang bersekolah pondok atau Maahad sejak kecil. Takdir saya ketika itu bukanlah pilihan saya, ibu bapa saya telah menentukan corak pendidikan saya. Kini tidaklah saya menyalahkan mereka tetapi saya percaya ketetapan Allah S.W.T ini ada hikmahnya. Tetapi bukanlah penghalang kepada saya untuk mempelajari dan mendalami agama samaada membaca, mendengar, melihat, berguru, bertalaqi dan lain-lain kaedah yang sesuai dengan keadaan dan tempat. Sesekali kita tidak memandang rendah antara satu sama lain. Ilmu Allah S.W.T sangat luas, semakin kita banyak belajar, kita akan memahami bahawa semakin banyak perkara yang kita tidak ketahui. Bukankah begitu? Pencarian dan destinasi akhir itu bergantunglah kepada usaha kita dan kemudian bertawakal semoga menuju damai abadi.

Sekian.

Cubalah Untuk Mengerti “BERSIH ATAU KOTOR”

Cubalah Untuk Mengerti “BERSIH ATAU KOTOR”

Hidup di dunia bermacam-macam dan berbagai-bagai pertarungan terjadi, tidak putus-putus. Pertarungan politik, pertarungan ekonomi, pertarungan mazhab, pertarungan perkauman, pertarungan fikiran dan pendapat, pertarungan pengaruh, pertarungan kepimpinan, pertarungan antarabangsa. Macamlah ombak laut yang tidak pernah berhenti daripada gelombang dan gelora.

Mengenai isu yang hangat sekarang mengenai isu perhimpunan BERSIH 2.0. kerana ruang lingkup saya masih lagi seorang mahasiswa di mana beberapa sahabat-sahabat telah memperbincangkannya samaada pro atau kontra, saya akan mengulas secara peribadi.

Sedangkan anak-anak muda ini adalah jiwanya penuh semangat dan idealis. Tindakannya kurang pengalaman, maka mudahlah membuat keputusan yang terburu-buru. Mereka ini sering ingin jadi penggerak perubahan yang agresif.

Dalam isu ini walaupun pihak BERSIH mengatakan mereka neutral. Siapa pun tidak bodoh untuk mengagak tindakan sebelah pihak ini. Adalah menjadi kerisauan saya secara peribadi melihat kepala penganjur adalah Ambiga Sreenevasan, ketua demonstrasi BERSIH 2 adalah bekas Presiden Bar Council.


Ambiga pernah dikatakan mempertikaikan perlaksanaan hukum syariah dalam artikel 121 (1A) berkaitan dengan kes Lina Joy Apakah Ambiga yang menyokong kebebasan beragama yang dimahukan oleh Lina Joy layak menjadi ketua gerakan ini?

Sebenarnya adalah pelik akhirnya pertembungan ini akan menjadi medan pertemuan peseteruan majoriti orang-orang melayu Islam akhirnya. UMNO-PERKASA vs PAS. Dalam luar konteks BERSIH, persaingan ini , sebenarya setiap pihak mempunyai taktik yang agak menkagumkan untuk mencari pengaruh dalam masyarakat melayu Islam. UMNO dengan cadangan penubuhan sayap ulama dalam parti tersebut dalam memicu agenda Islam yang kabur dari segi permukaan selama ini manakala PAS akhirnya mengalah dalam Isu Negara Islam dan menyasarkan dasar lebih terbuka dengan slogan Negara Kebajikan dalam memicu agenda menarik sokongan masyarakat yang lebih liberal. Akhirnya dua parti terbesar orang melayu Islam ini sebenarnya berkongsi aspirasi dan agenda yang lebih kurang untuk di nilai rakyat.

Tuntutan dalam BERSIH banyak berkisar dalam isu pilihanraya. Bagi saya ianya adalah retorik atau strategi propaganda dalam politik. Adalah menjadi tanggungjawab SPR bagi mengkaji semula sekiranya apa yang digariskan dalam tuntutan tersebut adalah rasional untuk dilaksanakan.

Dalam hal ini saya tidak merasakan perlu untuk demontrasi kerana isunya tidaklah mengugat terlalu ruang keadilan pilihanraya di Malaysia. Natijahnya kalau pilihanraya berat sebelah tidak mungkin semasa PRU 2008 , 5 negeri jatuh di tangan pembangkang.

Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah:

1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Tempoh berkempen minimum 21 hari
6. Perkukuh institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Kita kena ingat bahawa “Masa juga adalah satu Perawatan” maksudnya tidak semestinya dengan bertindak melulu dan secara keras boleh berjaya untuk mendapatkan sesuatu matlamat tercapai. Matlamat hanya akan tercapai sekiranya tapaknya kuat & teguh dulu. Tidak boleh kerana Mesir berjaya jatuhkan Mubarak sebab revolusi, kita juga nak buat perkara sama tanpa lihat dulu apa yang ada dibelakangnya.

Sebenarnya ajaran Islam yang syumul itu dapat ditegakkan dalam diri, masyarakat, hinggalah kepada persoalan negara melalui pembangunan iman. Inilah cara yang perlu dititikberatkan dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh. Iman perlu dibangunkan melalui dakwah dan tarbiah. Dengan ini orang ramai akan didorong, ke arah memahami, menghayati dan mengamalkan Islam secara lemah lembut, kasih sayang dan penuh hikmah!

Kefahaman dan kesedaran Islam yang bertapak dalam diri individu-individu itu dengan sendirinya akan menimbulkan cinta dan kasih kepada Islam tanpa dipaksa-paksa.

Kita sering cuba menggunakan kuasa yang ada di tangan untuk menundukkan orang ramai kepada Islam dengan menggunakan tekanan dan paksaan melalui akta-akta, undang-undang, peraturan-peraturan dan lain-lain lagi. Ertinya, Islam yang mereka tegakkan bukanlah atas dasar kesedaran, keinsafan, kefahaman dan bukan dari dorongan iman.

Bila ini terjadi, dua perkara mungkin berlaku. Pertama, oleh kerana undang-undang Islam masih asing dan janggal pada pandangan masyarakat, dengan diam-diam hati mereka menolaknya. Ini akan menyuburkan rasa tidak puas hati yang lama kelamaan, semakin meluas di kalangan masyarakat yang belum mempunyai kesedaran dan kefahaman Islam itu. Ini berbahaya. Lebih-lebih lagilah jika yang menolak dan tidak puas hati itu ialah pihak-pihak keselamatan (anggota polis atau tentera). Dengan mudah kerajaan Islam akan digulingkan melalui pemberontakan bersenjata ataupun demontrasi-demontrasi rakyat jelata.

Jika pun tidak sampai ke peringkat itu, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat jelata pasti mendorong mereka menjatuhkan kita dalam tempoh pilihanraya yang akan datang. Ibarat pokok yang belum berbuah tetapi telah dicantas orang, begitulah kerajaan Islam yang dibina bukan atas dasar iman, pasti akan runtuh sebelum sempat menegakkan Islam di seluruh bidang kehidupan.

Kemungkinan yang kedua, rakyat akan berpura-pura patuh kepada ajaran Islam di hadapan pemimpin, tetapi di belakang pemimpin ia menjadi orang yang munafik ataupun fasik. Walaupun mereka sebenamya memusuhi Islam tetapi tidak berani angkat muka kerana takut dan tidak ada kekuatan untuk mencabar kuasa pemerintah. Mereka laksanakan Islam kerana takutkan hukuman bukan kerana takutkan Allah. Manusia boleh berpura-pura di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah. Inilah yang berlaku di setengah-setengah negara Arab yang telah mengisytiharkan kepada dunia bahawa negara mereka ialah negara Islam.

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka di masa hadapan.

Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai pada hari ini. Keghairahan mengubah lanskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya.

Semoga kita mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T bagi menjauhkan perpecahan sesama kita. Para pemimpin-pemimpin samaada kerajaan dan pembangkang harus merenung kembali politik yang mereka mainkan. Kerana majoriti masyarakat terpengaruh dengan permainan di atas, mereka ini ibarat catur yang hanya menunggu tangan-tangan ghaib mengaturkannya tanpa bantahan. Sedang kita berkelahi, musuh Islam yang nyata mengaut keuntungan tanpa kita sedari. Semoga ade pemimpin pembaharu yang akan menunjukkan kita ke jalan yang cerah dan terang.

Rasulullah SAW bersabda

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mengutus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujaddid) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
(Riwayat Abu Daud)

Nak jadi Guru ke Pensyarah bila baca surat ni!!!!!!!!

Nak jadi Guru ke Pensyarah bila baca surat ni!!!!!!!!

SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi. Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah menjawat jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti mahupun Kementerian Pengajian Tinggi. Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah universiti IPTA kerana penilaian prestasi (KPI) mereka akan dinilai. Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan “rangking dunia,” maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa (ISI).

Masalah ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah, siapakah yang menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi bahawa pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh, seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada kakitangan awam Malaysia yang lain. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia, KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah, sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah. Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya berada pada bawah paras “malas” atau “sakit” sedangkan mereka mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan sebagainya. Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar (guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima gaji yang lebih rendah daripada itu. Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada 15 tahun. Jika dibandingakan dengan rakanrakan guru mereka yang berada di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi. Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti), dengan pengalaman kurang 10 tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44. Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaiktaraf ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding usaha memartabatkan golongan profesional. Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat. Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak pernah dihargai. Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB Dato’ Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu bersungguhsungguh membela nasib guru. Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI) seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat. Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf ISI hanya satu hambatan penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna, pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin mengejar penerbitan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri. Demi kerana mengejar “rangking” dunia universiti, adakah ini yang diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan kepakaran yang ada. Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok ke-100 dalam “rangking” dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian sebaliknya yang difikirkan ialah “kegilaan” mengejar “rangking” dunia tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri. Kepada KPT, khususnya YAB Dato’ Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama university tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta (IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka juga menjadi milik masyarakat. Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan lalu, dalam ruangan “Surat Pembaca” Berita Harian, jawapan oleh Unit Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan professor atau pengarah di universiti? Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA? Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal menyambung gagasan kepimpinan negara. Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya mengarifi falsafah Melayu “kera di hutan disusukan; anak mati dalam pelukan” perlu difahami sebaik-baiknya. Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah warga Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan apaapa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi. Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10 tahun kebelakangan ini. PROFESOR JUSA B,Kuala Lumpur ~dipetik dari surat pembaca sebuah akhbar