Sokong Pembatalan Peperiksaan UPSR

Sharing is Caring!

  1. Peperiksaan sekolah pada era moden telah berlaku selama lebih dari satu abad, kebanyakan orang telah mengambil pelbagai peperiksaan selama bertahun-tahun, menggunakan waktu berjam-jam dan berjaga malam untuk menghafal untuk pesediaan peperiksaan. Program peperiksaan seperti UPSR sepatutnya bertujuan untuk memberikan penilaian yang seimbang dan saksama bagi setiap pelajar.
  2. Para pengkritik pendekatan berorentasikan peperiksaan menyatakan peperiksaan pada peringkat rendah tidak adil untuk murid-murid kerana ianya tidak mengambil kira potensi yang ada selain daripada apa yang tercatat di atas kertas peperiksaan. Memetik kata-kata Albert Einstein “Semua orang adalah Genius. Tetapi jika anda menilai seekor ikan dengan keupayaannya memanjat pokok, ia akan menjalani hidupnya dengan penuh percaya bahawa ia adalah bodoh.”
  3. Model pendidikan berorentasikan peperiksaan bermula sejak bermula zaman perindustrian dengan pendekatan satu format standard sesuai untuk semua orang (one-size-fits-all approach). Dengan mengambil contoh mudah, kilang pembuatan kereta pada zaman tersebut memerlukan pekerja dengan kemahiran yang standard untuk menghasilkan sebuah produk yang sama.
  4. Dengan ledakan pada masa kini, pendidikan perlu berubah mengikut kesesuaian. Pekerjaan pada masa akan datang menurut “Laporan Pekerjaan Masa Depan” dalam Forum Eknonomi Dunia 2018, menunjukkan bahawa kemahiran yang diperlukan di tempat kerja akan mengalami perubahan sebanyak 42% antara pada masa sekarang sehingga 2022. Kemahiran yang akan menjadi semakin penting adalah seperti pemikiran kritikal, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang rumit. Ekonomi seperti Malaysia memerlukan penyesuaian sistem pendidikan untuk mengikuti perubahan ledakan ekonomi pasca Revolusi Perindutrian 4.0 pada masa kini.
  5. Sekiranya peperiksaan UPSR dibatalkan, kita harus bertanya apakah kaedah pentaksiran yang paling sesuai untuk setiap subjek di peringkat ini. Di mana pentaksiran mungkin patut dilaksanakan? Dan apakah faedahnya? Adakah guru boleh memahami naratif baharu pendidikan ini? Kerisauan guru berasas kerana sejarah pertukaran sistem pendidikan seperti pentaksiran PBS sering kali menambah pula beban tugas mereka. Manakala ibu bapa pula adakah dapat menerima penilaian anak-anak mereka tanpa istilah Gred “A” “B” dan lain-lain gred.
  6. Jadi bagaimana jika kita mengambil pendekatan menghapuskan UPSR? Adakah sekolah kita menjadi lebih baik atau lebih teruk? Finland boleh memberikan petunjuk. Negara ini telah menduduki pelbagai kedudukan PISA terbaik dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Tetapi Finland tidak mempunyai sistem ranking peperiksaan, tiada peperiksaan sekolah peringkat rendah, tiada ujian bagi murid-murid. Malah, peperiksaan peringkat kebangsaan pertama murid-murid Finland adalah pada umur 18 tahun. Kerajaan Finland ada melakukan penilaian terhadap prestasi sekolah dengan menguji sampel wakil murid, tetapi hanya untuk kegunaan dalaman dan keputusannya tidak diterbitkan. Selain itu, Kerajaan Jepun berkata negara Jepun harus “mengelakkan perbandingan ranking sekolah dan persaingan yang tidak sihat ini”. Manakala di Shanghai, China, keputusan peperiksaan sekolah cenderung tidak diumumkan.
  7. Sekiranya model Finland ini digunapakai, tidak harus di lupa juga elemen lain di Finland seperti nisbah guru-murid dalam kelas, infrastruktur, kompetensi guru dan ganjaran kepada guru, penghakupayaan guru di dalam menentukan pendekatan pembelajaran di dalam kelas. Di khuatiri dengan mengambil model secara sekerat-sekerat sahaja akan menyebabkan kegagalan dalam mengikut model tersebut.
  8. Kesimpulannya, pembatalan UPSR pada peringkat sekolah rendah adalah selari dengan perubahan yang berlaku pada dunia pada masa kini. Dengan mengalihkan ketaksuban model berorentasikan peperiksaan kepada model pendidikan yang lebih berpusatkan menggalakkan kreativiti penyelesaian masalah dalam dunia sebenar perlu diberikan keutamaan pada masa kini. Hanya kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap pemegang taruh dalam sistem pendidikan iaitu libat urus pentadbir sekolah, guru-guru, ibu-bapa yang akan terkesan dengan perubahan ini.
  9. Untuk pendidik pula, ini adalah peluang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan seperti aktiviti STEM tanpa terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus dan terlalu fokus dengan latih tubi untuk peperiksaan. Fokus kepada idea kreativiti dan inovatif dalam pembelajaran. Sekolah boleh jadi tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak kecil.
  10. Akhir kata, sekiranya kita terus berkeras mempertahankan sistem berorentasikan peperiksaan ini, kita berkemungkinan akan ketinggalan dalam persediaan berhadapan dunia pada masa depan. Anak-anak kita perlu dipersiapkan dengan pendidikan yang menyediakan peluang untuk mereka bersaing secara kompetitif dengan bakat dan potensi yang mereka ada. Bukan hanya menjadi robot-robot hasil spesifikasi yang standard daripada kilang-kilang (sekolah) yang menetapkan spesifikasi yang sama untuk semua produk!

    Oleh : Ts. Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Sebagai tanda terima kasih anda boleh tekan LIKE di bawah ini ;
 
 

 


Sharing is Caring!

Leave a comment