Close

Mohd Fadzil

Tag: Artikel

Lonjakan Pembelajaran Dalam Talian Disebabkan Oleh Pandemik Covid-19 : Satu Transformasi Pendidikan

Pandemik COVID-19 telah memaksa sekolah-sekolah dan universiti untuk menutup operasi dan beralih kepada pembelajaran secara jarak jauh iaitu pendekatan pembelajaran secara dalam talian. Realiti ini telah memberi penekanan kepada kursus untuk pengendalian pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar dan pendidik. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia telah menyebabkan lonjakan paradigma kepada semua peringkat dalam pendidikan untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran secara dalam talian sepertimana rombakan banyak industri yang akan bekerja secara jarak jauh kerana penutupan operasi.

Dalam banyak aspek, bidang pendidikan mula berpindah kepada pengajaran jarak jauh daripada rumah masing-masing. Platform persidangan video seperti Google Meet, Zoom, Microsoft Teams menjadi pilihan popular kepada pendidik-pendidik di Malaysia.  Manakala untuk teknologi pengurusan pembelajaran (Learning Management System) seperti Google Classroom & Microsoft Teams telah disediakan di dalam Portal Pembelajaran Digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan guru-guru dan murid-murid.

Justeru itu, pendidik perlu mempunyai kemahuan untuk mempelajari teknologi tersebut kerana fungsinya dibangunkan untuk memudahkan pembelajaran diuruskan dengan baik untuk manfaat murid, guru dan ibu bapa.  Walaupun alternatif penggunaan media sosial seperti telegram dan whataspp dalam pengajaran dan pembelajaran agak mudah dan pantas tetapi ianya hanya penting terus kekal untuk komunikasi dua hala tetapi dalam aspek pengurusan bilik darjah secara maya disarankan pendidik beralih sedikit demi sedikit kepada teknologi sistem pengurusan pembelajaran seperti Google Classroom untuk manfaat digunakan dalam pelbagai bentuk pengajaran dan pembelajaran.

Dengan inisiatif yang dilakukan oleh KPM dalam fasa PKP, murid masih mempunyai akses pendidikan dengan wujudnya transformasi pendidikan secara pembelajaran dalam talian, radio dan tv pendidikan. Guru-guru pula perlu merebut peluang dengan mengikuti latihan dan bengkel-bengkel secara jarak jauh yang disediakan KPM dan rangkaian organisasinya, malah terdapat pergerakan organik dikalangan guru-guru sendiri samaada melalui NGO, persatuan atau kumpulan-kumpulan di media sosial yang digerakkan guru sendiri berkongsi ilmu melalui siri-siri webinar, persidangan video ataupun melalui penggiat youtuber pendidikan.

Seperti semua perubahan teknologi dan usaha transformasi cabaran terbesar biasanya melibatkan perubahan budaya atau pengurusan. Pembelajaran dalam talian memerlukan disiplin sepertimana pendidikan konvensional juga memerlukan disiplin. Proses pembelajaran akan didigitalkan, konsep tanpa kertas akan menjadi pilihan utama. Perubahan proses ini bermakna semua peringkat perlu mengubah gaya pengurusan pembelajaran. Analisis analitik akan menjadi lebih lazim kerana keupayaan analitik dalam sistem pengurusan pembelajaran untuk mengetahui bahawa terdapat metrik proses pembelajaran dalam talian untuk melihat keberkesanan pembelajaran secara dalam talian.

Kebimbangan terbesar dengan lonjakan pembelajaran digital ini masih berkisar di sekitar jurang digital. Ini dapat dilihat apabila dua lokasi yang berbeza akses internet seperti di bandar mempunyai akses yang lebih baik manakala di pedalaman tiada akses atau akses internet yang perlahan. Sesetengah murid langsung tidak mempunyai akses internet. Masalah jurang digital ini akan muncul di setiap peringkat pendidikan sama ada ianya semudah isu seperti guru atau murid memerlukan webcam atau sesuatu yang lebih besar seperti keperluan akses Internet dan komputer. Isu ini adalah yang paling ketara diperdebatkan. Masalah jurang digital dalam pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia nampak menjadi isu hangat disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan penutupan sekolah.

Secara keseluruhannya daripada sudut positif, pembelajaran secara dalam talian akan terus mendapat lonjakan kerana ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, malah terdapat cadangan kepada KPM untuk terus menutup sekolah walaupun tempoh PKP berakhir, dan hanya pelajar kelas peperiksaan awam seperti UPSR, SPM, STPM sahaja pelajar perlu ke sekolah kerana untuk memastikan jarak selamat 1 meter boleh dilaksanakan di dalam kelas kerana limitasi kapasiti bilik darjah di sekolah. Ucapan terima kasih harus diucapkan kepada semua pendidik yang komited terus memastikan pembelajaran dalam tempoh sukar ini dilaksanakan iaitu proses pengajaran dilakukan tanpa penambahan bajet daripada mana-mana pihak, malah segala peralatan dan kos tanggungan sendiri atas dasar untuk memberikan ilmu terbaik demi agama, bangsa dan negara.   

Oleh : Ts. Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi & Kerjaya, Dewan Muda Johor (DMJ).

*Nota kaki : Gelaran singkatan “Ts.” di pangkal nama atau “P.Tech” selepas nama berdasarkan Akta 768 (Akta Teknologis & Juruteknik 2015). Pengiktirafan “Profesional Technologist” atau bahasa melayunya “Teknologis Berijazah” daripada MBOT (Malaysian Board of Technologist).

Sebagai tanda terima kasih anda boleh tekan LIKE di bawah ini ;
 
 

 

Semakan Semula Taksonomi Bloom

Sejarah taksonomi Bloom bermula ketika awal tahun 1950-an, dalam Persidangan Persatuan Psikologi Amerika, Bloom dan kawan-kawan mengemukakan bahawa penaksiran hasil pembelajaran yang banyak disusun di sekolah, peratusan soalan yang diajukan hanya meminta pelajar menyatakan apa yang mereka hafal sahaja. Persidangan tersebut merupakan lanjutan dari persidangan yang dilakukan pada tahun 1948. Menurut Bloom, teknik menghafal sebenarnya merupakan peringkat rendah dalam kemampuan berfikir. Terdapat banyak peringkat atau tahap yang lebih tinggi yang harus dicapai agar proses pembelajaran dapat menghasilkan pelajar yang mahir dalam bidangnya.

Pada tahun 1956, Bloom, Englehart, Furst, Hill dan Krathwohl memperkenalkan Taksonomi Bloom atau konsep kemampuan berfikir. Taksonomi Bloom adalah struktur hierarki yang mengenal pasti kemahiran dari peringkat yang rendah sehingga peringkat yang tinggi. Bagi mencapai ke peringkat yang lebih tinggi, terlebih dahulu peringkat yang rendah perlu dipenuhi. Benjamin Bloom (1956) telah mengklasifikasikan aras tingkah laku keintelektualan dalam pembelajaran  kepada tiga domain iaitu domain kognitif, domain afektif, dan  domain psikomotor dalam tujuan pendidikan ini.

Dalam domain kognitif, Blooms telah mengidentifikasikan enam aras kognitif iaitu; aras pengetahuan, aras, kefahaman, aras aplikasi, aras analisis, aras sintesis dan aras penilaian. Adalah didapati keenam-enam arah domain kognitif didapati relevan dalam membentuk objektif dalam melaksanakan program pembangunan pelajar.

Pada tahun 1994, salah seorang murid Bloom, Lorin Anderson Krathwohl dan para ahli psikologi aliran kognitif memperbaiki taksonomi Bloom agar sesuai dengan kemajuan zaman. Hasil daripada penambahbaikan tersebut barulah diterbitkan pada tahun 2001 dengan nama Revisi Taksonomi Bloom. Semakan semula hanya dilakukan pada domain kognitif.

Semakan semula tersebut meliputi perubahan kata kunci dari kata benda menjadi kata kerja untuk setiap tahap taksonomi dan perubahan hampir terjadi pada semua tahap hierarki, namun urutan tahap masih sama iaitu dari peringkat yang terendah hingga tertinggi. Perubahan pada tahap 5 dan 6. Perubahan- perubahan tersebut dapat dijelaskan sebagai berikut

*Pada tahap 1, knowledge diubah menjadi remembering (mengingat).

*Pada tahap 2, comprehension menjadi understanding (memahami).

*Pada tahap 3, application diubah menjadi applying (menerapkan).

*Pada tahap 4, analysis menjadi analyze (menganalisis).

*Pada tahap 5, synthesis menjadi level 6 tetapi dengan perubahan mendasar, iaitu creating (mencipta).

*Pada tahap 6, Evaluation menjadi level 5, dengan sebutan evaluating (menilai).

Jadi, Taksonomi Bloom baru versi Kreathwohl pada domain kognitif terdiri dari enam tahap: remembering (mengingat), understanding (memahami), applying (menerapkan), analyze (menganalisis, mengurai), evaluating (menilai) dan creating (mencipta). Dapat dilihat dalam Rajah di bawah.

Rajah: Semakan semula Taksonomi Bloom
 
 

Sama dengan sebelum Revisi, tiga tahap pertama (terbawah) merupakan Lower Order Thinking Skills, dan tiga tahap berikutnya Higher Order Thinking Skill. Jadi, dalam menginterprestasikan piramid di atas, secara logiknya adalah sebagai berikut:

*Sebelum kita memahami sebuah konsep maka kita harus mengingati terlebih dahulu.

*Sebelum kita menerapkan maka kita harus memahaminya.

*Sebelum kita menganalisis maka kita harus menerapkan dulu.

*Sebelum kita menilai maka kita harus menganalisis dulu.

*Sebelum kita mereka atau menciptakan sesuatu, maka kita harus mengingat, memahami, mengaplikasikan, menganalisis dan menilai.

Domain afektif dan psikomotor belum mendapat perhatian. Kemahiran menekankan aspek psikomotor yang memerlukan penyelarasan jasmani sehingga lebih tepat dipraktikkan bukannya dipelajari. Sikap juga merupakan faktor yang sukar diubah selama proses pembelajaran kerana sikap terbentuk sejak lahir. Sebab mengapa revisi baru dilakukan pada kognitif domain yang difokuskan pada pengetahuan.

BIBLIOGRAFI

Anderson, L.W, & Krathwohl, D.R. (2001). A Taxonomy for Learning, Teaching, and Assessing: A Revision of Bloom’s Taxonomy of Educational Objectives. New York: Longman

Bloom, B.S., (Ed.). 1956. Taxonomy of educational objectives: The classification of educational goals: Handbook I, cognitive domain. New York: Longman.

Imam Gunawan et al., (2008). Taksonomi Bloom – Revisi Ranah Kognitif: Kerangka Landasan untuk Pembelajaran, Pengajaran dan Penilaian. Diambil daripada https://akhmadsudrajat.files.wordpress.com/2008/01/revisi-taksonomi-bloom.pdf

Mohd Hashim Othman (2006). Aplikasi Taksonomi Blooms dalam Mereka Bentuk Program Pembangunan Pelajar. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Diambil daripada http://eprints.utm.my/513/1/MohamadHashimOthman2006_Aplikasitaksonomibloomsdalammerekabentuk.pdf

Sebagai tanda terima kasih anda boleh tekan LIKE di bawah ini ;