Close

Mohd Fadzil

Month: April 2009

PENDIRIAN PERIBADI MENGENAI ISU PPSMI

PENDIRIAN PERIBADI MENGENAI ISU PPSMI

Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya melalui pendidikan demi sebuah bangsa Malaysia. Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di negara ini berdasarkan kepentingan bahasa Melayu iaitu melibatkan Perkara 152 yang berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagai medium perpaduan bagi menyatukan pelbagai kaum di Negara ini. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum.

Hubungan etnik juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja. Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini menjadi semakin kompleks dan berbeza. Itulah sebabnya Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia. Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang dipersetujui bersama.

Dalam kebimbangan pelbagai pihak mengenai prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 khususnya bagi subjek Sains dan Matematik, yang dilaksana di bawah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini bukan saja di luar jangkaan malah boleh disifatkan sebagai kejutan. Apa tidaknya, jika bersandarkan kepada hasil kajian beberapa tokoh akademik tersohor termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron bersama empat penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sudah pasti kita menjangka keputusan UPSR tahun ini akan terjejas dan ramai murid bakal memperoleh keputusan rendah khususnya bagi subjek Sains dan Matematik kerana sebahagian besar murid dilaporkan gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Dalam kajian ilmiah penyelidik dari UPSI itu tahun lalu mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati 83 peratus daripada murid Tahun Lima di semua penempatan seluruh negara menyatakan mereka sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun mempelajari kedua-dua subjek itu sejak mula diperkenalkan pada 2003. Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Diikuti pada Julai 2007 membabitkan 636 dari 13 sekolah rendah, seterusnya pada Januari membabitkan 1,703 murid di 28 sekolah rendah.

Menurut kajian itu lagi, 85 peratus murid melaporkan guru mereka juga terpaksa mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa campuran bahasa Melayu dan Inggeris bagi membantu murid memahami dengan lebih mudah apa yang disampaikan guru. Dapatan sama turut diperoleh dalam beberapa kajian lain termasuk yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan peratusan tinggi di kalangan pelajar Melayu sukar memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun apabila meneliti keputusan peperiksaan UPSR yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, terbukti dasar PPSMI tidak menjejaskan penguasaan murid bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan seperti dilaporkan kajian berkenaan. Malahan bilangan murid yang menjawab kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris amat memberangsangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Bagi subjek Sains meningkat kepada 159,234 pelajar berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya, manakala Matematik seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007. Hanya 7.7 peratus menggunakan bahasa campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Dapatan kajian yang turut dibentang pada Konvensyen Pendidikan Nasional di UPSI tidak lama dulu yang tidak menggambarkan pencapaian sebenar murid dalam peperiksaan UPSR 2008 yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu mengelirukan, bukan saja dalam kalangan ibu bapa malah seluruh rakyat yang prihatin dalam soal pendidikan anak-anak. Persoalannya sekarang apakah kerajaan akan membuat ketetapan untuk meneruskan dasar PPSMI berikutan pencapaian calon kumpulan pertama di bawah dasar itu yang menampakkan kesan positif dan tidak menunjukkan dasar itu gagal?

Apa juga keputusan diambil, kita harap Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan. Saya juga berharap ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi yang lantang bersuara di Parlimen mengenai isu bahasa Melayu yang kini baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dapat mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu dalam pendidikan sekaligus diiktiraf sebagai bahasa perpaduan masyarakat Malaysia. Dan saya tegaskan sekali lagi bahawa pendidikan merupakan wadah penting untuk melahirkan generasi berilmu yang memiliki ciri-ciri kepemimpinan berkualiti, berwibawa, berwawasan dan jati diri yang mampu memacu kemajuan negara dalam segenap bidang, seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Diari Harian ( Khamis, 9 April 2009 ):

Diari Harian ( Khamis, 9 April 2009 ):

8.00 a.m : Bergegas ke HEP untuk mempercepatkan permohonan sdri Nur Liana drpd Jabatan Kerohanian & Sahsiah MPP dalam usahanya memenuhi jemputan ke Konvensyen Al-Quran anjuran UITM Shah Alam pada 11-12 April 2009…. Kelulusan tertangguh kerana surat di terima pada 30 Mac 2009 ( Agak lewat) dan juga mewajibkan bayaran RM55/seorang. Memandangkan senarai nama yang di hantar seramai 38 org termasuk Qari dan pembahas ( 1 Bas), kosnya agak tinggi. Permulaannya hanya Qari dan pembahas yang hendak di tanggung universiti. Setelah berbincang dengan Pejabat HEP, saya berusaha untuk mendapatkan peruntukkan bagi kesemua peserta memandangkan jumlah RM55 agak besar bagi seseorang pelajar. Maka jumlah keseluruhan yang perlu ditanggung universiti ialah 38 org x RM55 = RM2090.00. Terima kasih kepada Timbalan Pendaftar HEP, En. Malek kerana mempertimbangkan permohonan saya. Semoga Qari dan pembahas UTHM dapat melaksanakan tanggungjawab yang di galas…. Selaku YDP saya menyokong 100% program ini dalam meningkatkan syiar Islam……

10.00 a.m : Kuliah Subjek Mekanik Tanah ( Tamat 12.00 p.m )

12.00 p.m : Menghantar Sijil Rakan MPP untuk pengesahan HEP…. Membantu sdri Martina dari Jabatan Promosi dan Publisiti dalam membuat permohonan peruntukkan khas bagi banner MPP akan datang……

1.00 p.m : Rehat, Solat

2.00 p.m : Perbincangan personel dengan pelajar berkenaan beberapa masalah peribadi dan ke bendahari UTHM bagi penjelasan yuran perkhidmatan pengangkutan yang pelajar bayar….
Penjelasan yang di beri pelajar hanya membayar RM25 ( Tabung Khidmat Pelajar ) dalam penyata kewangan bagi satu semester bersamaan pelajar membayar yuran perkhidmatan dalam minggu kuliah selama 14 minggu ( 98 hari) ialah sehari bersamaan RM 0.25 sen walaupun berulang kali menaiki kenderaan dalam sehari. Yuran ini termasuklah pengangkutan pagi aktiviti-aktiviti dan program-program pelajar.

3.00 p.m : Turun padang di Hentian Bas Dataran Kawad, bagi pemantauan percubaan jadual bas baru yang kemungkinan besar dilaksanakan pada semester lepas iaitu selama 3 jam ( 3.00 pm hingga 6.00 p.m) bersama-sama En. Dzeffery, Pengusaha Sikun Jaya Sdn. Bhd sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan. Iaitu selang 15 minit berbanding 30 minit pada masa sekarang. Ianya bergantung kepada kelulusan penambahan bas yang dalam peringkat akhir kelulusan mesyuarat eksekutif universiti. Lampiran Jadual baru akan dipamerkan.

6.00 p.m : Balik ke Bilik Gerakan MPP untuk pengemaskinian surat-surat yang sampai pada hari ini, kemudian pulang ke Kolej Kediaman Melewar.

7.00 p.m : Niat ingin ke Solat Hajat anjuran Kelab Pendidikan Teknik & Vokasional di kampus bandar tetapi membatalkan saat-saat akhir kerana kepenatan. Solat dan kembali ke bilik gerakan MPP untuk kerja-kerja pejabat.

10.00 p.m : Meluangkan masa menaip kegiatan harian pada hari ini… (Skrg)….

TAHNIAH !!!

TAHNIAH !!!

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI ( KABINET BARU)


MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

 

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

 


Timbalan:

 

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

 

2. Datuk Saifuddin Abdullah

Profil

Latar belakang peribadi dan keluarga Dato’ Saifuddin Abdullah

Dato’ Saifuddin Abdullah ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Anak jati Temerloh ini dilahirkan pada 1961 di Kg Sungai Ara, Mentakab, kepada pasangan Ustaz Haji Abdullah Long (anak Mengkarak) dan Hajah Ramlah Uda (anak Lebak). Ustaz Haji Abdullah ialah pesara guru agama di beberapa buah sekolah kebangsaan di daerah Temerloh, seperti Sek Keb Bandar Mentakab. Beliau juga pernah mengajar di beberapa buah surau seperti di Kg Mambang Berulang, Taman Saga dan Taman Sri Semantan. Hajah Ramlah pula ialah pesara guru di Sek Keb Chatin, Bandar Mentakab dan Tanjung Lalang.

Dato’ Saifuddin mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab (1968-73), Kolej Melayu Kuala Kangsar – MCKK (1974-80), mendapat BA Honours dari Universiti Malaya (1984), Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka (1985) dan mengikuti Kursus Eksekutif di Harvard Business School (1995).

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Norlin Shamsul Bahri, Penolong Pengurus Ilmu/Pustakawan Zaid Ibrahim & Co, iaitu syarikat guaman terbesar negara. Mereka dikurniai Nur Madihah, kini pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban.

Beliau adalah bekas ahli perniagaan. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Pengarah Paduan Consulting, Pengurus Besar Akademi Penulis, Pengurus Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Guru dan Editor.

SENARAI PENUH KABINET 2009 (SILA KLIK).

Perutusan Khas YDP MPPUTHM Sesi 08/09

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan

UTHM 8 April – Alhamdulillah marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat saya memberi sepatah dua kata semenjak saya dilantik menjadi Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09.

Sesungguhnya jawatan ini satu amanah Allah S.W.T yang seharusnya saya pikul dengan rasa penuh tanggung jawab dan jujur. Dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa, sudut yang harus dilihat ialah sejauh mana kefahaman mahasiswa terhadap peranan utama organisasi yang dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar. Fungsi utama MPP ialah sebagai medium pengantara di antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti. Dalam erti kata lain, MPP berperanan untuk menyampaikan segala permasalahan yang dialami oleh para mahasiswa ke pihak universiti dan jika perlu, ke pihak yang lebih tinggi dalam usaha memastikan permasalahan itu selesai atau terjawab.

Dalam keadaan sekarang adalah penting untuk mahasiswa untuk bersatupadu agar suara mahasiswa lebih didengari dalam memastikan agenda kebajikan mahasiswa didengari. Memandangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk, suasana harmoni yang telah wujud haruslah dikekalkan. Perbalahan akan sentiasa wujud di mana-mana kerana naluri semulajadi manusia yang mempunyai pelbagai pemikiran akan melahirkan ideologi yang berlainan. Tetapi bila kita bercakap soal Agama, Bangsa dan Negara seharusnya ianya mendapat keutamaan di mana individu atau kumpulan-kumpulan tertentu dapat menyingkirkan kepentingan peribadi dalam menjayakan agenda perpaduan bagi menjamin keharmonian kampus.

Mahasiswa kampus lesu dan kurang bermaya yang menjadi isu perdana kini amatlah dikesali. Permasalahan ini disebabkan mahasiswa sendiri iaitu mentaliti mahasiswa telah diprogramkan untuk menjadi seperti robot iaitu belajar secara totok bukannya belajar secara kritis melalui pengalaman hidup yang dapat ditimba dalam alam kampus. Mahasiswa yang pro-aktif dapat membantu dengan memberi sokongan terhadap Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan-Persatuan, Kelab-Kelab, mahupun Sekretariat yang wujud di UTHM. Mentaliti menjadikan universiti seperti alam sekolah iaitu berorentasikan peperiksaan iaitu bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam kursus pengajian semata-mata haruslah dipandang serius. Kemahiran Insaniah seperti pengurusan, komunikasi dan lain-lain elemen haruslah seiring dengan kecemerlangan akademik.

Apakah perbezaan antara perkataan pelajar dan mahasiswa sekiranya mentaliti itu meresap dalam jiwa sanubari warga kampus? Ayuh kita berganding bahu untuk mengambil peluang dalam setiap aktiviti organisasi mahasiswa di universiti tercinta kita ini bagi memartabatkan kembali perjuangan api mahasiswa. Universiti yang dianggap pusat kecemerlangan ilmu seolah-olah tidak mampu untuk menghasilkan produk yang cemerlang jati dirinya lagi sekiranya mentaliti mahasiswa ini tidak di ubah.

Sekiranya mahasiswa sekarang tetap dengan perspektif untuk mengharapkan “Ijazah Kelas Pertama” daripada universiti tetapi tidak ingin berganjak daripada takuk lama iaitu “Mentaliti Kelas Ketiga”, percayalah kita hanya melahirkan generasi anak bangsa yang cemerlang akademiknya tetapi jiwanya kosong tanpa penghayatan terhadap Agama, Bangsa dan Negara.

Akhir kata, dalam memastikan MPP dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan efektif, kerjasama dari semua pihak amat diharapkan. Rakan mahasiswa seharusnya menggunakan saluran aduan yang betul dalam menyuarakan permasalahan anda dan juga haruslah peka dengan dasar yang ingin disampaikan oleh MPP agar segala persoalan dapat dirungkaikan dengan berkesan dan harmoni.

Sebelum saya akhiri kata-kata ini, serangkap pantun saya rungkaikan kepada rakan-rakan seperjuangan……..

Hang Tuah pahlawan terbilang,
Bunuh Jebat kerana raja,
MPP tidak akan hilang,
Selagi ahlinya tetap setia.

Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09

Isu-isu penting perbincangan MPP bersama Datuk NC pada 31 Mac 2009…

1) Perbincangan mengenai isu Majlis Konvekesyen ke-8 UTHM ura-ura dipindahkan ke PERSADA, Johor. MPP telah menyatakan pendirian untuk mengekalkan Majlis KOnvokesyen di UTHM. Datuk NC telah bersetuju dengan pandangan MPP tetapi telah meletakkan syarat iaitu :-

(a) Hanya seorang sahaja daripada ibu bapa yang dibenarkan masuk ke dewan atas dasar kapasiti dewan yang kecil untuk menampung jumlah orang.

(b) Kenderaan akan diletakkan di suatu tempat khas. Pengangkutan bas akan disediakan daripada tempat letak kenderaan ke dewan.

2) Perbincangan isu penempatan masjid baru, pihak MPP telah di jelaskan bahawa mesyuarat penentuan kedudukan masjid di UTHM akan ditentukan oleh fatwa negeri Johor sepenuhnya pada 10 April 2009. Pihak MPP merasakan isu ini haruslah diselesaikan melalui bidang kuasa yang sepatutnya iaitu Majlis Fatwa Negeri Johor.

3) Isu-isu lain adalah seperti isu sosial membabitkan beberapa tangkapan khalwat mahasiswa/i UTHM, isu pengangkutan, Kebajikan dan peruntukkan kelab, Harga dan kebersihan Kafe, Kelengkapan bilik MPP dan Kelab dan kebajikan Ahli MPP.

Perjuangan YDP MPPUTHM Sesi 08/09

1) Berjaya meminda jadual pengangkutan yang lebih realistik dan pemantauan pengangkutan melalui 4 Stesen oleh Pengawal keselamatan UTHM.

2) Cadangan daripada MPP mengenai pembinaan tempat letak motosikal berbumbung di kolej-kolej kediaman telah berjaya di mana pembinaan Fasa 1 melibatkan pemasangan di 4 lokasi iaitu di KKTF & KKTDI sudah bermula pada 30 Mac 2009.

3) Perjuangan MPP lepas mengenai pemasangan Astro di kolej-kolej kediaman telah diluluskan pada bulan Februari tetapi hanya 3 channel diluluskan oleh pihak universiti. Pihak MPP sesi ini telah membuat rayuan untuk mendapatkan tambahan 4 channel lagi dan keputusan akhir 6 channel telah diluluskan. Pemasangan Astro akan bermula pada 7 April 2009 tetapi lokasi pemasangan yang pertama tidak dimaklumkan lagi.

4) Perjuangan MPP mengenai cadangan menyediakan akhbar di hentian menunggu van dan bas di kolej-kolej kediaman dalam peringkat akhir kelulusan….

5) Perjuangan MPP untuk kebajikan bilik-bilik kelab juga dalam penelitian pihak TNC HEPA…..

6) Pihak MPP dalam proses cadangan draf untuk mewujudkan harga lantai dan siling bagi makanan di semua kafetaria di dalam kampus dan kolej-kolej kediaman dengan mengambil modul daripada UTM. Selaku YDP, saya telah menghantar 7 org ahli MPP ke UTM pada 14 Mac untuk mempelajari mekanisme penyelarasan harga makanan yang telah berjaya di UTM.