MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

Sharing is Caring!

MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
BERTEMPAT DI
GERMAN-MALAYSIA INSTITUTE

PADA 06 JANUARI 2012


Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian

Yang Berbahagia Dato Sri Abd Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Ketua-Ketua Jabatan,

Dif-Dif Kehormat, Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Tuan-Tuan, Puan-Puan,

Seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke
hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah izin dan kurniaNya, kita dapat
berhimpun dalam satu majlis bersejarah yang menandakan permulaan
transformasi pendidikan vokasional, selaras dengan agenda yang telah
digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Saya juga ingin mengambil
kesempatan ini untuk merakamkan perhargaan kepada pihak penganjur dan
tuan rumah iaitu German Malaysia Institut (GMI) kerana dapat menjayakan
majlis yang amat bermakna ini.

2. Aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang
berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan berhasrat
untuk merealisasikan ‘High Income Economy’ atau Ekonomi Berpendapatan
Tinggi. Dalam Model Baru Ekonomi yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri, Dato` Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, dinyatakan
bahawa kejayaan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk
berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu bagi menjana kekayaan
negara merupakan faktor yang kritikal, bagi menentukan pencapaian
kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Pertumbuhan ekonomi
nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan
vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

3. Dalam memenuhi aspirasi ini, pendidikan vokasional adalah laluan yang
penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi,
berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat
serantau dan juga global serta relevan dengan keperluan semasa. Dalam
hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti Pendidikan Teknikal
dan Latihan Vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang
kepada mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi. Peningkatan
kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi meningkatkan
kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, sistem latihan kemahiran dan
jalinan usahasama dengan pihak industri perlu diperkukuhkan supaya lebih
responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara.
Untuk itu, peranan yang dinamik dari pihak yang terlibat menjadi faktor
penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya saing.
Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat
memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta
pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Para hadirin sekalian,

4. Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif sejak tahun
2009 lagi dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional
di negara maju dan negara serantau. Kadar purata enrolmen pelajar aliran
teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara
Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan ( OECD ) adalah 44%,
berbanding hanya 10% di Malaysia. Jika kita melihat kepada negara-negara
maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan
utama dalam sistem pendidikan di semua negara ini. Sebagai contoh, di
Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80 peratus
pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas
melalui program sepenuh masa (4 -5 tahun) dan program apprenticeship.
Malahan di negara tersebut, pelajar-pelajar diberi pilihan untuk
mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat umur 14 tahun lagi. Di
negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, enrolmen pelajar
yang mengambil aliran ini di peringkat menengah atas mejangkau 40 hingga
60 peratus. Dalam pada itu, pendidikan vokasional di sekolah luar
negara juga melibatkan On The Job Training bagi menghasilkan tenaga
kerja kepada industri. Apabila tamat pengajian, pelajar mereka
dianugerahkan sekurang-kurangnya sijil dan ada negara yang menawarkan
sehingga peringkat diploma.

5. Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara
serantau, pendidikan vokasional di Malaysia perlu dibuat perubahan besar
dan segera. Jika ini tidak dilakukan, kita bimbang negara kita tidak
kompetitif di peringkat global dan terus ketinggalan. Kejayaan perlu
diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik, tetapi
definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

6. Pendidikan vokasional di Malaysia pada masa ini sedang menuju ke arah
konsep Pendidikan Untuk Semua ( Education For All ) seperti yang
digariskan oleh UNESCO. Program Pendidikan Asas Vokasional ( PAV ) yang
dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan alternatif kepada murid yang
cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan berasaskan pekerjaan
(work-based) dari peringkat menengan rendah lagi sehingga ke tahap kolej
vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Swasta
( ILKS ). Sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri
telah dinaik taraf menjadi KV rintis pada tahun 2012 seperti yang
disebutkan tadi. Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran
vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua
kerana pelajar-pelajar yang keluar nanti adalah pekerja mahir yang
mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi.

Hadirin sekalian,

7. Transformasi pendidikan vokasional merupakan usaha merekayasa
kurikulum, institusi, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran, tadbir
urus dan sumber manusia sehingga terbina sistem pendidikan vokasional
yang baharu. Proses dilaksana menerusi lima strategi, lima inisiatif dan
sebelas tindakan. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Buku Pelan
Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional yang akan dilancarkan
sebentar lagi.

8. Lima strategi utama ini merangkumi:
– Transformasi kurikulum pendidikan vokasional
– Transformasi institusi pendidikan vokasional
– Kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri
– Transformasi pentaksiran pendidikan vokasional.
– Transformasi organisasi pendidikan vokasional.

9. Dalam usaha memastikan latihan kemahiran memenuhi keperluan industri,
Kementerian amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama (MoU)
antara institusi latihan KPM (PAV dan KV) dengan industri kerana dengan
adanya perkongsian teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung
dapat memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan para pelajar
untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar. Maka pada hari ini akan
termeterai perjanjian persefahaman (MOU) di antara KPM dengan 11 rakan
strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS.
Syabas diucapkan kepada agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS yang
terlibat.

10. Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih
banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil ke hadapan untuk
sama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang
sedang berlaku. Kerjasama pihak industri dalam menyediakan latihan
kemahiran amat penting agar latihan melalui “work based learning” dapat
diperolehi oleh pelajar. Kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua
belah pihak dapat dikongsi bersama serta boleh mengelakkan berlakunya
ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan institusi
latihan kemahiran.

11. Di samping itu, amalan standard kualiti persekiran tempat kerja
melalui konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun,
seragam dan selalu amal juga telah mula diperkenalkan di sekolah
menengah teknik dan vokasional oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan
Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009. Pelaksanaan
konsep 5S perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutama di
bengkel-bengkel dan juga pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang
kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur. Inisiatif ini juga
merupakan langkah ke arah transformasi persekitaran kolej vokasional
supaya amalan budaya bekerja yang berkualiti diterapkan kepada pelajar
KV. Kita mengharapkan graduan KV akan mengamalkan budaya ini apabila
mereka bekerja atau menjalankan perniagaan nanti. Saya difahamkan 8 buah
sekolah akan menerima Sijil 5S dari Malaysia Trodiction Council (MPC)
pada hari ini. Sayabas diucapkan.

12. Akhir sekali saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada
Kementerian Pelajaran Malaysia, kementerian dan agensi-agensi lain dalam
usaha menjayakan transformasi pendidikan vokasional ini. Kepada seluruh
warga Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, KPM, SMT/V dan Kolej
Vokasional, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya, Tingkatkanlah usaha dan
bekerjalah dalam satu pasukan untuk meningkatkan kecemerlangan
pendidikan vokasional demi masa depan negara. Jadikanlah usaha ini
sebagai agenda penting pembangunan modal insan negara yang kita cintai.

13. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional,
Kementerian Pelajaran Malaysia..

Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sekian, terima kasih.


Sharing is Caring!

Leave a comment