Guru ijazah separuh masa, PJJ, boleh naik Gred DG41 tanpa temuduga

Sharing is Caring!

Guru ijazah separuh masa, PJJ, boleh naik Gred DG41 tanpa temuduga


7 November 2012
Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

SEREMBAN – Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh
ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian
Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu menghadiri
temuduga, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hari ini.
  
Timbalan Perdana Menteri berkata guru berkenaan boleh memohon terus
kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan
daripada proses temuduga.
  
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru yang
berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas
menamatkan pengajian juga akan dilantik terus tanpa proses temuduga
sebagai guru pelatih mulai tahun depan.
  
Bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih
ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat
dalam bidang perguruan.
  
Beliau berkata seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan Institut
Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam
bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh
Kementerian Pelajaran mulai 16 Okt.
  
Mereka akan ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
bermula hari ini hingga 6 Dis, katanya ketika berucap merasmikan
Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2012 anjuran SPP di sini.

Beliau berkata bagi calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu
mengemukakan permohonan kepada SPP bermula 1 Nov secara online, melalui
portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).
  
Bulan lepas Muhyiddin mengumumkan bahawa seramai 10,715 orang graduan
IPGM dan IPTA yang telah dan bakal menamatkan pengajian dalam bidang
pendidikan sekiranya berjaya dalam temuduga, akan dilantik ke jawatan
Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah(PPS) Gred DG41.
  
Beliau berkata kerajaan sedang berusaha melaksanakan pakej kerjaya guru
baharu dalam beberapa fasa bagi meningkatkan kualiti keguruan yang
merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang
pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu.
  
“Ini membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan
kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme
berasaskan teladan rakan setugas,” katanya.
  
Bagi mengukuh laluan kerjaya guru, Timbalan Perdana Menteri menyarankan
SPP supaya mengambil langkah pragmatik untuk mengekalkan bakat terbaik
dan antara langkah itu ialah guru mengajar mengikut opsyen bagi
meningkatkan motivasi dan prestasi serta peluang kenaikan pangkat.

Sebaliknya bagi memastikan profesion keguruan adalah terdiri dari
kalangan yang terbaik, dasar pemisah hendaklah dilaksanakan secara
berkesan sejajar dengan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan,
katanya.
  
Muhyiddin berharap hasil persidangan ini dapat dipertimbang sebagai
input ke dalam laporan pembangunan pendidikan 2012-2025 yang sedang
dikemaskini.
  
“Saya juga ingin mencadangkan bahawa hasil persidangan ini dapat
diperinci untuk dijadikan pelan tindakan yang bersepadu melalui
pelaksanaan satu makmal khusus dianggotai anggota dari Kementerian
Pelajaran, SPP, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PEMANDU, MoF dan
lain-lain yang difikirkan sesuai.
  
“Saya berharap agar persidangan ini akan menjadi medan terbaik untuk
mengenal pasti idea-idea yang kreatif dan inovatif selaras dengan dasar
transformasi negara bagi meningkatkan kualiti sistem pelajaran negara.
  
“Pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam perkhidmatan pelajaran yang
berterusan, terutama dalam aspek peningkatan kemahiran dan latihan
adalah penting kerana ia kunci utama kepada kecekapan perkhidmatan
pelajaran,” katanya.
  
Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tiga hari itu. – Bernama


Sharing is Caring!

Leave a comment