TS Muhyiddin: Kerajaan akan bincang tuntutan NUTP

Sharing is Caring!

TS Muhyiddin: Kerajaan akan bincang tuntutan NUTP



 

Kementerian
Pelajaran akan berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) berhubung sembilan tuntutan termasuk berkaitan isu
sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri
Pelajaran berkata pihaknya akan menetapkan tarikh perjumpaan dalam masa
seminggu ke dua minggu akan datang untuk pegawai-pegawai kanan
kementerian berjumpa dengan wakil NUTP.

“Kita ada Ketua
Setiausaha dan Ketua Pengarah Pelajaran, kita boleh letak beberapa wakil
dari kementerian. Saya hanya akan terima laporan selepas perbincangan
itu selesai.

“Ini biasa kita buat. Sebelum ini pun bila ada
cadangan ia akan dikemukakan oleh kesatuan, peringkat kementerian memang
akan bincang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan
Khas Guru Malaysia anjuran NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin
berkata tuntutan yang sesuai dilaksanakan akan dikemukakan kepada
Jabatan Perkhidmatan Awam dan sekiranya melibatkan implikasi kewangan,
ia akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan.

Presiden
NUTP Hashim Adnan pada perhimpunan itu mengemukakan sembilan tuntutan
melibatkan penambahbaikan profesion perguruan termasuk aspek pengurusan,
pentadbiran, gaji dan peluang kenaikan pangkat.

Mengenai
cadangan penambahbaikan PBS, Muhyiddin berkata beliau sememangnya
menjangkakan perkara itu berdasarkan maklum balas yang diterima
kementerian apabila sistem itu dilaksanakan.

Katanya kementerian
akan meneliti perkara itu termasuk aspek teknikal yang menyebabkan
sistem itu dianggap sebagai ‘beban’ kepada guru.

Melalui PBS,
murid sekolah akan ditaksir guru secara berterusan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dan tidak bergantung kepada keputusan
peperiksaan awam semata-mata.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata
kementerian sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan tidak pernah
mengetepikan sebarang pandangan atau tuntutan yang dibuat mana-mana
pihak.

Ditanya sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan
ditambah ke dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025,
Muhyiddin berkata: “Kalau tidak terlewat dan boleh dibuat jika perlu.”

Terdahulu,
dalam amanatnya pada perhimpunan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata
beliau yakin masalah-masalah berkaitan PBS akan dapat diatasi bagi
membolehkan sistem itu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Bermakna
kita dapat beralih kepada satu sistem di mana pencapaian pelajar dapat
dinilai atas keupayaan mereka di peringkat sekolah dengan dipandu
Lembaga Peperiksaan agar bentuk soalan yang digunakan adalah selaras.

“Saya
kira ini dapat mengubah corak sistem pendidikan kita agar menumpukan
kepada pencapaian daripada hanya keputusan peperiksaan awam,” katanya.

Bernama


Sharing is Caring!

Leave a comment