Kementerian Sedia Kaji Isu Penempatan Guru Berkahwin

Sharing is Caring!

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Kementerian Pendidikan bersedia
untuk mengkaji semula pertukaran guru-guru yang sudah berkahwin atas
faktor kemanusiaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata adalah
tidak sesuai bagi pasangan suami isteri, terutama yang baharu berkahwin
dipisahkan atas kekangan tugas.

“Bagi saya sebagai pendidik yang ada pengalaman sebagai seorang
pengetua, sekiranya ada guru yang minta tukar atas sebab mereka
berkahwin, saya beri sokongan penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasbulah Osman
(BN-Gerik) yang bertanya mengenai permohonan pertukaran guru yang telah
berkahwin.

“Ini atas dasar kemanusiaan…tidak sesuai atau tidak baik untuk suami isteri dipisahkan,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Hasbullah mengenai usaha-usaha yang
dijalankan untuk memperkasa Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Yap
berkata beberapa aktiviti dilaksanakan termasuk usaha untuk menarik 30
peratus pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai
profesyen perguruan khususnya di IPG.

Institut itu turut melaksanakan usaha ke arah memberi penarafan kepada
semua 27 kampus IPG di seluruh negara selain kursus-kursus untuk
pengukuhan latihan perguruan dan pembangunan profesionalisme, katanya.

Bagi meningkatkan prestij IPG setanding institut pengajian tinggi awam
(IPTA), satu pelan strategi telah dirangka untuk mencapai sasaran 33
peratus pensyarah IPG memiliki ijazah kedoktoran (PhD) menjelang 2020,
kata Yap.

Beliau berkata pada tahun 2012, daripada 3,947 pensyarah IPG, seramai
308 pensyarah adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan 3,057 Sarjana.

— BERNAMA


Sharing is Caring!

One comment

Leave a comment