Kerajaan kaji pemberian bonus Aildiftri buat penjawat awam: DS Najib

Sharing is Caring!


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji
kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari
Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

“Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam
satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini
sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat
yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor
Utara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan
ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres
Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam yang
masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada
penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada
bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Omar Osman meminta kerajaan
mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam
sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam
membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan
Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan CUEPACS itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha
Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan masih belum berbincang
mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua
kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. – BERNAMA


Sharing is Caring!

Leave a comment