Close

Mohd Fadzil

Latest Posts

LAWATAN RASMI MPPUTHM DAN RAKAN EXCO KE PARLIMEN DAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

LAWATAN RASMI MPPUTHM DAN RAKAN EXCO KE PARLIMEN DAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI


UTHM
16 April – Delegasi MPPUTHM SESI 08/09 bersama-sama Rakan Exco telah membuat lawatan rasmi ke Parlimen Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi pada 15 April 2009. Delegasi telah bertolak seawal jam 6.00 pagi dari UTHM. Kira-kira jam 10.30 pagi, kami telah tiba di Parlimen. Kami di sambut oleh En.Rashid daripada Unit Perhubungan Korporat Parlimen.

Kami di bawa melawat lobi Parlimen terlebih dahulu. Pemandangan pertama yang dapat dilihat ialah lobi parlimen dengan sofa-sofa dan potret-potret Yang Di-Pertuan Agong dahulu dan sekarang menghiasi ruangan lobi Parlimen. Menurut En. Rashid, keadaan pada masa itu lengang kerana Parlimen hanya bersidang semula pada 15 Jun 2009. Menurutnya lagi Lobi ini apabila waktu sidang akan dipenuhi oleh media, ahli-ahli dewan rakyat dan juga wakil-wakil daripada pelbagai agensi.

Pada sesi taklimat di lobi, kami telah dimaklumkan bahawa Parlimen terbahagi kepada 2 bangunan, iaitu bangunan utama terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara, Bilik Istirehat Yang Di-Pertuan Agong. Manakala bangunan satu lagi di kenali sebagai Menara 17 Tingkat yang terdiri daripada Pejabat Pentadbiran Staf-Staf Parlimen, Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan juga Pejabat Ketua Pembangkang. Selain itu, kami dimaklumkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hanya akan hadir setahun sekali untuk merasmikan penggal Parlimen. Dewan rakyat kini terdiri daripada 222 ahli daripada Kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi dalam pilihanraya umum.

Seterusnya kami di bawa masuk ke dalam Dewan Rakyat. Hikmahnya, kami datang ketika tiada sidang kami dibenarkan ke kawasan dewan rakyat bersidang iaitu sekiranya pada waktu kebiasaan bersidang, pelawat hanya dapat duduk di hujung dewan. Secara lucunya delegasi UTHM berlakon seperti wakil-wakil rakyat duduk di kawasan Parlimen masing-masing dan berlakon berbahas seperti realiti. Saya sendiri telah duduk di kerusi Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi selaku Ketua Kerajaan dan juga kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang. Sememangnya perasaannya amat luar biasa sekali, sekiranya sebelum ini saya hanya dapat melihat di televisyen sahaja, tetapi pada hari tersebut saya telah dapat merasai suasana sendiri duduk di kerusi tersebut dan masih boleh berjenaka dengan rakan-rakan lain yang ada berlakon sebagai pihak kerajaan dan pihak pembangkang.

Melalui taklimat yang diberikan, kedudukan kerusi di dalam Dewan Rakyat ialah terdiri daripada kerusi paling atas di tengah-tengah ialah tempat yang Di-Pertua Dewan Rakyat, pada sebelah kanan terdiri daripada pihak kerajaan, sebelah kiri pula ialah pihak pembangkang.

Kemudian kami di bawa ke dalam Dewan Negara pula, di mana ahli-ahlinya terdiri daripada Senator-senator yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong. Antara kelebihan Senator ialah mereka boleh di lantik sebagai Menteri oleh kerajaan tanpa perlu dilantik sebagai wakil rakyat melalui pilihanraya.

Setelah tamat sesi lawatan ke Parlimen kami solat di Masjid Putrajaya dan dalam jam 3 petang kami tiba di Kementerian Pengajian Tinggi dan di sambut oleh Cik Azwarni Herni Binti Che Noh, Pegawai Perhubungan Awam KPT, Kami telah di bawa ke bilik mesyuarat KPT, di sana kami telah diketemukan dengan Prof. Dr. Mohd Fauzi Bin Hj Ramlan selaku Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar KPT dan beberapa pegawai-pegawai KPT yang lain.

Mesyuarat yang dipengerusikan beliau dimulai dengan menyampaikan Amanat Datuk Seri Datuk Seri Mohd Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi, dengan falsafah “ Menerajui Kegemilangan Ilmu” dan “ Modal Insan Negara”. Prof. Dr. Mohd Fauzi juga telah berpesan mahasiswa memerlukan 4M iaitu :- (a) Jangan Malu (b) Jangan Malas (iii) Jangan Monyok (iv) Jangan Manja. Seterusnya perbincangan menjurus kepada peranan UTHM dalam bidang kejuruteraaan dan pendidikan kepada masyarakat setempat. Pihak MPP UTHM telah menerangkan mengenai program-program universiti bersama komuniti setempat seperti Program “ Selangkah ke Menara Gading” yang telah diadakan dan juga program seperti “Muar Gemilang” yang akan diadakan secara berfasa.

Pada masa yang sama, Prof. Dr. Mohd Fauzi juga telah menerangkan perancangan KPT dalam usaha pembangunan pelajar di IPTA seperti akan melaksanakan 8 Teras bagi menggalakkan pelajar aktif dan tidak terlalu berorentasikan peperiksaan iaitu pelajar akan diberikan 1 Kredit = 40 jam di mana maksimum 6 jam kredit bagi tambahan kepada kredit sedia ada dalam kurikulum. Ianya akan dapat membantu pelajar yang aktif untuk menaikkan CPA mereka berdasarkan tambahan 6 jam kredit maksimum yang diperuntukkan dalam 8 teras yang di gariskan iaitu :-

(1) Kepimpinan
(2) Debat
(3) Keusahawanan
(4) Sukan
(5) Sukarelawan ( Cth : Suksis dan Palapes * akan diseragamkan di setiap IPTA untuk dapat maksimum 6 jam kredit)
(6) Daya cipta Inovasi ( Cth : ROBOCON)
(7) Kebudayaan
(8) * tidak sempat salin…. maaf

Seterusnya, kami telah diberikan kejutan di mana, rupa-rupanya Y.B Dato’ Saifuddin Abdullah yang baru di lantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah sudi hadir ke dalam mesyuarat kami kerana ingin berjumpa dengan pemimpin mahasiswa daripada UTHM walaupun dimaklumkan beliau baru sahaja 3 hari masuk pejabat. Beliau telah memeberikan amanat dan harapannya kepada kami dan menceritakan pengalaman-pengalaman beliau yang amat berharga kepada kami untuk dijadikan sebagai teladan. Beliau telah menerangkan, kerajaan menganggap kepimpinan mahasiswa amat penting dan kerajaan telah menyediakan platform kepada mahasiswa untuk bersuara di Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa setiap IPTA.

Selain itu, saya selaku Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar telah membawa isu kampus yang perlu di ambil perhatian oleh pihak kerajaan, salah satunya ialah mengenai masalah perumahan. Permasalahan ini akan wujud setiap kali kemasukan pelajar baru di mana Kolej-kolej kediaman akan menerima kemasukan pelajar-pelajar baru dan menyebabkan pelajar-pelajar kanan terpaksa keluar dan menyewa di sekitar Parit Raja. Pelajar Tanpa Asrama ini dibebani dengan kos sara hidup tinggi dan juga di nafikan kemudahan-kemudahan universiti tidak seperti pelajar-pelajar yang menghuni Kolej Kediaman.

Permasalahan ini juga berbangkit kerana bagi mengurangkan kos sara hidup, Pelajar Tanpa Asrama akan memilih sewaan termurah di mana kondusif pembelajaran adalah tidak sesuai di mana akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang pelajar. Permasalahan ini telah di ajukan kepada pihak pengurusan universiti di mana pihak pengurusan universiti telah merancang penyelesaian jangka pendek dengan menyewa premis-premis luar pada Julai ini sekiranya berjaya dalam perbincangan dengan pihak pemaju dan untuk jangka panjang, dalam RMK-10 pelan induk yang telah di buat iaitu perumahan-perumahan untuk pelajar akan di buat dan ini bergantung dengan peruntukkan daripada kerajaan. Berdasarkan itu, saya telah meminta jasa baik Dato` selaku pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar untuk melihat perkara ini bagi memastikan kenaikan pelajar haruslah seiring dengan pembangunan universiti.

Mesyuarat ditamatkan dengan penyampaian cenderahati daripada pihak UTHM kepada pihak kementerian dan begitu juga sebaliknya. Kemudian sesi bergambar antara delegasi UTHM dan Dato` bersama-sama pegawai-pegawai KPT dan sedikit jamuan telah diadakan. Sesi bersalam-salaman menamatkan sesi lawatan kami di Kementerian Pengajian Tinggi. Sesunggunhnya lawatan ini telah memberikan banyak manfaat kepada kami untuk melihat sendiri visi dan misi KPT dalam memajukan Pendidikan Tinggi Negara selain daripada objektif asal kami bagi menjalinkan hubungan erat antara pihak UTHM dengan pihak KPT. Terima kasih di ucapkan kepada semua pihak khasnya kepada ahli MPP yang hadir dan rakan-rakan exco MPP yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam lawatan rasmi ini. Selamat maju jaya UTHM!!!!!

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN DENGAN CEMERLANG

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN DENGAN CEMERLANG

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN DENGAN CEMERLANG

PENDAHULUAN

Peperiksaan penting peperiksaan akhir memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata.Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan. Sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang. Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.

Artikel yang ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu. Pelajar perlu merujuk kepada pensyarah masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab setiap soalan. Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan dengan mengatakan ……..

“AKU BOLEH BERJAYA”. Melangkah dengan fikiran yang positif.

PERSEDIAAN FIZIKAL

KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

Tidur yang cukup.

Tidur yang cukup ialah diantara 6 – 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan.

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya “Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan

sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

PERSEDIAAN MENTAL

Pelbagai Gambaran Negatif

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:

Menyerah kalah sebelum berjuang

Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca teta dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

Merasa belum bersedia

Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.

Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.

Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

“Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung”.

“Something is better than nothing”

Lakukan “Latihan Minda” setiap hari.

“If you can’t see it, you can’t have it”.

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat keputusan cemerlang, maka cemerlang itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.

PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;

Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;

Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan;

Bersikap terlalu yakin – “overconfident”;

Berprasangka buruk terhadap orang lain;

Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka. Apa perasaan anda kalau raka membohongi anda? Anda mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati berkekalan berhari-hari.

Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.

Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.

PERSEDIAAN ROHANI

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

2.Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anakny sangat makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran. Alla telah berfirman dalam surah ar-Ra’ad, ayat 36, yang

mafhumnya “Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati”.

4.Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5.Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.

DELEGASI UTHM KE KONVENSYEN AL-QURAN DI UITM SHAH ALAM

DELEGASI UTHM KE KONVENSYEN AL-QURAN DI UITM SHAH ALAM

UTHM 13 April – Bertempat di UiTM Shah Alam, pada 11-12 April 2009, Konvensyen Al-Quran telah dianjurkan dan UTHM telah menghantar penyertaan seramai 29 orang yang terdiri daripada 8 lelaki dan 21 perempuan. Motto konvensyen ini ialah “Kearah membuktikan kebenaran Al-Quran”. Pada 11 April 2009, sesi pagi telah diadakan dua pembentangan kertas kerja. Kertas kerja yang pertama bertajuk “Al-Quran dan Sains” yang telah dibentangkan oleh Dr. Jamnul Azhar Mulkan. Penciptaan alam semesta melibatkan the big bang, nuclear fusion, subatomic particle, dark matter, dark energy, blackholes, universe stability dan cycle of energy. Kertas kerja yang kedua bertajuk “Asas-asas pembentukan tamadun dalam perspektif Al-Quran” yang telah dibentangkan oleh Sheikh Uthman El-Muhammady. Asas-asas pembentukan tamadun dalam perspektif Al-Quran melibatkan pemerhatian terhadap akidah, epistemologi dan kerangka peradaban. Pada sesi petang telah diadakan sesi perbahasan. UTHM telah diwakili oleh tiga orang terdiri daripada Mohd Hadi B. Abd Rahman, Mohd Azham B. Ahmad dan Asma’ BT Zaid. Pada sesi malam telah diadakan forum bertajuk “Cintaku pada Al-Quran”. Jika kamu susah hati bawalah hati untuk membaca Al-Quran, mendengar orang membaca Al-Quran, mendengar tazkirah dan solat tahajjud. Terdapat dua perkara yang tidak menyesatkan kamu iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Pada 12 April 2009, telah diadakan pertanding tilawah Al-Quran. UTHM telah menghantar Muhamad B. Mohd Termezi untuk menyertai pertandingan tersebut. Selepas pertandingan tilawah al-Quran, telah diadakan satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Ghafarullahuddin bin Hj. Din. Ustaz mengatakan umat zaman sekarang lemah kerana cinta dunia dan takut mati. Ustaz turut menceritakan kisah mengenai Abu Nawas dan baginda sultan yang memberikan banyak manfaat kepada pendengarnya. Konvensyen ini tamat dengan jayanya pada pukul 11.30 pagi. Alhamdulilah…

ANDA TANYA, SAYA JAWAB :

ANDA TANYA, SAYA JAWAB :

Soalan :

(1) Kebanyakkan kafeteria tidak menjaga kebersihan..lihat sajalah gred yang diberi oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat baru2 ni.Keseluruhan kafe di TDI mendapat gred c…Sesuatu mengecewakan…

(2) lagi satu saya cadangkan ialah pembinaan koridor antara G3 dan tdi..dan koridor dari arked ke G3

Jawapan :

(1) Merujuk lampiran 1, pihak MPP telah membawa isu ini ke pengetahuan setiap Kolej Kediaman. Aduan ini berdasarkan statistik berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan seperti lampiran 2 yang di beri. Walaubagaimanapun, pihak MPP akan mengambil inisiatif dengan membawa isu ini ke pengetahuan Jawatankuasa Kebersihan Kafetaria yang di pantau oleh Pihak Kesihatan Universiti. Sepertimana maklum, tindakan akan di ambil sekiranya pengusaha ingkar dalam memastikan kafeteria dalam keadaan bersih. Dalam kes pada tahun lepas, Pengusaha kafeteria di KKTSN telah ditamatkan kontrak kerana masalah kebersihan, apa yang dapat warga kampus membantu kami ialah dengan memberi bukti seperti gambar bagi mengukuhkan dakwaan tersebut. Saudara boleh merujuk kepada saudara Agilarajan A/L Selvarajah, Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Kolej Kediaman MPP dalam hal ini di talian 013-7140395. Terima kasih.
“PENGGERAK AGENDA MAHASISWA”

Lampiran 1

Lampiran 2


…………..KKTF……………………… KKTSN…………

………………KKTDI……………………. KKP………….

(2) Berkenaan isu pembinaan laluan susur gajah berbumbung antara KKTDI-G3-ARKED adalah kesinambungan perjuangan MPP yang lepas. Pihak MPP pasa sesi ini telah meneruskan agenda ini, di mana pembinaan Fasa 1 melibatkan laluan berbumbung G3 ke Arked baru sahaja dalam proses penutupan tender. Manakala dari KKTDI-KKTF ke G3 dalam proses buka tender. Kesemua projek ini dijangka siap pada akhir tahun ini menurut kenyataan pegawai PPH. Proses ini sememangnya memakan masa kerana melibatkan banyak proses pembinaan seperti rekabentuk dan prosedur-prosedur kejuruteraan yang harus di lalui. Semoga pihak mahasiswa dapat bersabar. Terima kasih kerana bertanya. di sini juga saya lampirkan pelan kampus asal dan juga lakaran kasar laluan tersebut. Harus di ingat, ianya merupakan lakaran kasar berdasarkan keterangan yang telah diberikan kepada saya. Terima kasih.

Lampiran

Pelan Kampus :

Biru ( Parking Motosikal Berbumbung )
* Jangkaan siap awal bulan 6
Merah
( Lakaran kasar Laluan Susur Gajah Berbumbung)
* Jangkaan siap akhir tahun
Hijau
( Kiosk berhampiran Hentian Dataran Kawad)
* Jangkaan siap sebelum konvokesyen

PENDIRIAN PERIBADI MENGENAI ISU PPSMI

PENDIRIAN PERIBADI MENGENAI ISU PPSMI

Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya melalui pendidikan demi sebuah bangsa Malaysia. Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di negara ini berdasarkan kepentingan bahasa Melayu iaitu melibatkan Perkara 152 yang berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagai medium perpaduan bagi menyatukan pelbagai kaum di Negara ini. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum.

Hubungan etnik juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja. Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini menjadi semakin kompleks dan berbeza. Itulah sebabnya Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia. Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang dipersetujui bersama.

Dalam kebimbangan pelbagai pihak mengenai prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 khususnya bagi subjek Sains dan Matematik, yang dilaksana di bawah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini bukan saja di luar jangkaan malah boleh disifatkan sebagai kejutan. Apa tidaknya, jika bersandarkan kepada hasil kajian beberapa tokoh akademik tersohor termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron bersama empat penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sudah pasti kita menjangka keputusan UPSR tahun ini akan terjejas dan ramai murid bakal memperoleh keputusan rendah khususnya bagi subjek Sains dan Matematik kerana sebahagian besar murid dilaporkan gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Dalam kajian ilmiah penyelidik dari UPSI itu tahun lalu mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati 83 peratus daripada murid Tahun Lima di semua penempatan seluruh negara menyatakan mereka sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun mempelajari kedua-dua subjek itu sejak mula diperkenalkan pada 2003. Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Diikuti pada Julai 2007 membabitkan 636 dari 13 sekolah rendah, seterusnya pada Januari membabitkan 1,703 murid di 28 sekolah rendah.

Menurut kajian itu lagi, 85 peratus murid melaporkan guru mereka juga terpaksa mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa campuran bahasa Melayu dan Inggeris bagi membantu murid memahami dengan lebih mudah apa yang disampaikan guru. Dapatan sama turut diperoleh dalam beberapa kajian lain termasuk yang dilakukan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan peratusan tinggi di kalangan pelajar Melayu sukar memahami Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun apabila meneliti keputusan peperiksaan UPSR yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, terbukti dasar PPSMI tidak menjejaskan penguasaan murid bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan seperti dilaporkan kajian berkenaan. Malahan bilangan murid yang menjawab kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris amat memberangsangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Bagi subjek Sains meningkat kepada 159,234 pelajar berbanding 1,324 orang tahun sebelumnya, manakala Matematik seramai 238,153 pelajar menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berbanding 1,075 pelajar pada tahun 2007. Hanya 7.7 peratus menggunakan bahasa campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Dapatan kajian yang turut dibentang pada Konvensyen Pendidikan Nasional di UPSI tidak lama dulu yang tidak menggambarkan pencapaian sebenar murid dalam peperiksaan UPSR 2008 yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu mengelirukan, bukan saja dalam kalangan ibu bapa malah seluruh rakyat yang prihatin dalam soal pendidikan anak-anak. Persoalannya sekarang apakah kerajaan akan membuat ketetapan untuk meneruskan dasar PPSMI berikutan pencapaian calon kumpulan pertama di bawah dasar itu yang menampakkan kesan positif dan tidak menunjukkan dasar itu gagal?

Apa juga keputusan diambil, kita harap Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar bersikap telus dan rasional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan. Saya juga berharap ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi yang lantang bersuara di Parlimen mengenai isu bahasa Melayu yang kini baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dapat mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu dalam pendidikan sekaligus diiktiraf sebagai bahasa perpaduan masyarakat Malaysia. Dan saya tegaskan sekali lagi bahawa pendidikan merupakan wadah penting untuk melahirkan generasi berilmu yang memiliki ciri-ciri kepemimpinan berkualiti, berwibawa, berwawasan dan jati diri yang mampu memacu kemajuan negara dalam segenap bidang, seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Diari Harian ( Khamis, 9 April 2009 ):

Diari Harian ( Khamis, 9 April 2009 ):

8.00 a.m : Bergegas ke HEP untuk mempercepatkan permohonan sdri Nur Liana drpd Jabatan Kerohanian & Sahsiah MPP dalam usahanya memenuhi jemputan ke Konvensyen Al-Quran anjuran UITM Shah Alam pada 11-12 April 2009…. Kelulusan tertangguh kerana surat di terima pada 30 Mac 2009 ( Agak lewat) dan juga mewajibkan bayaran RM55/seorang. Memandangkan senarai nama yang di hantar seramai 38 org termasuk Qari dan pembahas ( 1 Bas), kosnya agak tinggi. Permulaannya hanya Qari dan pembahas yang hendak di tanggung universiti. Setelah berbincang dengan Pejabat HEP, saya berusaha untuk mendapatkan peruntukkan bagi kesemua peserta memandangkan jumlah RM55 agak besar bagi seseorang pelajar. Maka jumlah keseluruhan yang perlu ditanggung universiti ialah 38 org x RM55 = RM2090.00. Terima kasih kepada Timbalan Pendaftar HEP, En. Malek kerana mempertimbangkan permohonan saya. Semoga Qari dan pembahas UTHM dapat melaksanakan tanggungjawab yang di galas…. Selaku YDP saya menyokong 100% program ini dalam meningkatkan syiar Islam……

10.00 a.m : Kuliah Subjek Mekanik Tanah ( Tamat 12.00 p.m )

12.00 p.m : Menghantar Sijil Rakan MPP untuk pengesahan HEP…. Membantu sdri Martina dari Jabatan Promosi dan Publisiti dalam membuat permohonan peruntukkan khas bagi banner MPP akan datang……

1.00 p.m : Rehat, Solat

2.00 p.m : Perbincangan personel dengan pelajar berkenaan beberapa masalah peribadi dan ke bendahari UTHM bagi penjelasan yuran perkhidmatan pengangkutan yang pelajar bayar….
Penjelasan yang di beri pelajar hanya membayar RM25 ( Tabung Khidmat Pelajar ) dalam penyata kewangan bagi satu semester bersamaan pelajar membayar yuran perkhidmatan dalam minggu kuliah selama 14 minggu ( 98 hari) ialah sehari bersamaan RM 0.25 sen walaupun berulang kali menaiki kenderaan dalam sehari. Yuran ini termasuklah pengangkutan pagi aktiviti-aktiviti dan program-program pelajar.

3.00 p.m : Turun padang di Hentian Bas Dataran Kawad, bagi pemantauan percubaan jadual bas baru yang kemungkinan besar dilaksanakan pada semester lepas iaitu selama 3 jam ( 3.00 pm hingga 6.00 p.m) bersama-sama En. Dzeffery, Pengusaha Sikun Jaya Sdn. Bhd sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan. Iaitu selang 15 minit berbanding 30 minit pada masa sekarang. Ianya bergantung kepada kelulusan penambahan bas yang dalam peringkat akhir kelulusan mesyuarat eksekutif universiti. Lampiran Jadual baru akan dipamerkan.

6.00 p.m : Balik ke Bilik Gerakan MPP untuk pengemaskinian surat-surat yang sampai pada hari ini, kemudian pulang ke Kolej Kediaman Melewar.

7.00 p.m : Niat ingin ke Solat Hajat anjuran Kelab Pendidikan Teknik & Vokasional di kampus bandar tetapi membatalkan saat-saat akhir kerana kepenatan. Solat dan kembali ke bilik gerakan MPP untuk kerja-kerja pejabat.

10.00 p.m : Meluangkan masa menaip kegiatan harian pada hari ini… (Skrg)….

TAHNIAH !!!

TAHNIAH !!!

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI ( KABINET BARU)


MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

 

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

 


Timbalan:

 

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

 

2. Datuk Saifuddin Abdullah

Profil

Latar belakang peribadi dan keluarga Dato’ Saifuddin Abdullah

Dato’ Saifuddin Abdullah ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Anak jati Temerloh ini dilahirkan pada 1961 di Kg Sungai Ara, Mentakab, kepada pasangan Ustaz Haji Abdullah Long (anak Mengkarak) dan Hajah Ramlah Uda (anak Lebak). Ustaz Haji Abdullah ialah pesara guru agama di beberapa buah sekolah kebangsaan di daerah Temerloh, seperti Sek Keb Bandar Mentakab. Beliau juga pernah mengajar di beberapa buah surau seperti di Kg Mambang Berulang, Taman Saga dan Taman Sri Semantan. Hajah Ramlah pula ialah pesara guru di Sek Keb Chatin, Bandar Mentakab dan Tanjung Lalang.

Dato’ Saifuddin mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab (1968-73), Kolej Melayu Kuala Kangsar – MCKK (1974-80), mendapat BA Honours dari Universiti Malaya (1984), Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka (1985) dan mengikuti Kursus Eksekutif di Harvard Business School (1995).

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Norlin Shamsul Bahri, Penolong Pengurus Ilmu/Pustakawan Zaid Ibrahim & Co, iaitu syarikat guaman terbesar negara. Mereka dikurniai Nur Madihah, kini pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban.

Beliau adalah bekas ahli perniagaan. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Pengarah Paduan Consulting, Pengurus Besar Akademi Penulis, Pengurus Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Guru dan Editor.

SENARAI PENUH KABINET 2009 (SILA KLIK).

Perutusan Khas YDP MPPUTHM Sesi 08/09

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan

UTHM 8 April – Alhamdulillah marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat saya memberi sepatah dua kata semenjak saya dilantik menjadi Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09.

Sesungguhnya jawatan ini satu amanah Allah S.W.T yang seharusnya saya pikul dengan rasa penuh tanggung jawab dan jujur. Dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa, sudut yang harus dilihat ialah sejauh mana kefahaman mahasiswa terhadap peranan utama organisasi yang dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar. Fungsi utama MPP ialah sebagai medium pengantara di antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti. Dalam erti kata lain, MPP berperanan untuk menyampaikan segala permasalahan yang dialami oleh para mahasiswa ke pihak universiti dan jika perlu, ke pihak yang lebih tinggi dalam usaha memastikan permasalahan itu selesai atau terjawab.

Dalam keadaan sekarang adalah penting untuk mahasiswa untuk bersatupadu agar suara mahasiswa lebih didengari dalam memastikan agenda kebajikan mahasiswa didengari. Memandangkan kita hidup dalam masyarakat majmuk, suasana harmoni yang telah wujud haruslah dikekalkan. Perbalahan akan sentiasa wujud di mana-mana kerana naluri semulajadi manusia yang mempunyai pelbagai pemikiran akan melahirkan ideologi yang berlainan. Tetapi bila kita bercakap soal Agama, Bangsa dan Negara seharusnya ianya mendapat keutamaan di mana individu atau kumpulan-kumpulan tertentu dapat menyingkirkan kepentingan peribadi dalam menjayakan agenda perpaduan bagi menjamin keharmonian kampus.

Mahasiswa kampus lesu dan kurang bermaya yang menjadi isu perdana kini amatlah dikesali. Permasalahan ini disebabkan mahasiswa sendiri iaitu mentaliti mahasiswa telah diprogramkan untuk menjadi seperti robot iaitu belajar secara totok bukannya belajar secara kritis melalui pengalaman hidup yang dapat ditimba dalam alam kampus. Mahasiswa yang pro-aktif dapat membantu dengan memberi sokongan terhadap Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan-Persatuan, Kelab-Kelab, mahupun Sekretariat yang wujud di UTHM. Mentaliti menjadikan universiti seperti alam sekolah iaitu berorentasikan peperiksaan iaitu bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam kursus pengajian semata-mata haruslah dipandang serius. Kemahiran Insaniah seperti pengurusan, komunikasi dan lain-lain elemen haruslah seiring dengan kecemerlangan akademik.

Apakah perbezaan antara perkataan pelajar dan mahasiswa sekiranya mentaliti itu meresap dalam jiwa sanubari warga kampus? Ayuh kita berganding bahu untuk mengambil peluang dalam setiap aktiviti organisasi mahasiswa di universiti tercinta kita ini bagi memartabatkan kembali perjuangan api mahasiswa. Universiti yang dianggap pusat kecemerlangan ilmu seolah-olah tidak mampu untuk menghasilkan produk yang cemerlang jati dirinya lagi sekiranya mentaliti mahasiswa ini tidak di ubah.

Sekiranya mahasiswa sekarang tetap dengan perspektif untuk mengharapkan “Ijazah Kelas Pertama” daripada universiti tetapi tidak ingin berganjak daripada takuk lama iaitu “Mentaliti Kelas Ketiga”, percayalah kita hanya melahirkan generasi anak bangsa yang cemerlang akademiknya tetapi jiwanya kosong tanpa penghayatan terhadap Agama, Bangsa dan Negara.

Akhir kata, dalam memastikan MPP dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan efektif, kerjasama dari semua pihak amat diharapkan. Rakan mahasiswa seharusnya menggunakan saluran aduan yang betul dalam menyuarakan permasalahan anda dan juga haruslah peka dengan dasar yang ingin disampaikan oleh MPP agar segala persoalan dapat dirungkaikan dengan berkesan dan harmoni.

Sebelum saya akhiri kata-kata ini, serangkap pantun saya rungkaikan kepada rakan-rakan seperjuangan……..

Hang Tuah pahlawan terbilang,
Bunuh Jebat kerana raja,
MPP tidak akan hilang,
Selagi ahlinya tetap setia.

Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Yang Di-Pertua MPP Sesi 08/09