

Pemikiran Komputasional
Jeannette Wing dari Carnegie Mellon Universtiy merupakan master mind yang …..
Publish Paper (Proceeding)
Application Development Of Augment Reality In Geometry Topic Based On Multimedia Learning Cognitive Theory
LONJAKAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN DISEBABKAN OLEH PANDEMIK COVID-19 : SATU TRANSFORMASI PENDIDIKAN
Rencana
Pandemik COVID-19 telah memaksa sekolah-sekolah dan universiti untuk menutup operasi dan beralih kepada pembelajaran secara jarak jauh iaitu pendekatan pembelajaran secara dalam talian. Realiti ini telah memberi penekanan kepada kursus untuk pengendalian pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar dan pendidik. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia telah menyebabkan lonjakan paradigma kepada semua peringkat dalam pendidikan untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran secara dalam talian sepertimana rombakan banyak industri yang akan bekerja secara jarak jauh kerana penutupan operasi.
Dalam banyak aspek, bidang pendidikan mula berpindah kepada pengajaran jarak jauh daripada rumah masing-masing. Platform persidangan video seperti Google Meet, Zoom, Microsoft Teams menjadi pilihan popular kepada pendidik-pendidik di Malaysia. Manakala untuk teknologi pengurusan pembelajaran (Learning Management System) seperti Google Classroom & Microsoft Teams telah disediakan di dalam Portal Pembelajaran Digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan guru-guru dan murid-murid.
Justeru itu, pendidik perlu mempunyai kemahuan untuk mempelajari teknologi tersebut kerana fungsinya dibangunkan untuk memudahkan pembelajaran diuruskan dengan baik untuk manfaat murid, guru dan ibu bapa. Walaupun alternatif penggunaan media sosial seperti telegram dan whataspp dalam pengajaran dan pembelajaran agak mudah dan pantas tetapi ianya hanya penting terus kekal untuk komunikasi dua hala tetapi dalam aspek pengurusan bilik darjah secara maya disarankan pendidik beralih sedikit demi sedikit kepada teknologi sistem pengurusan pembelajaran seperti Google Classroom untuk manfaat digunakan dalam pelbagai bentuk pengajaran dan pembelajaran.
Dengan inisiatif yang dilakukan oleh KPM dalam fasa PKP, murid masih mempunyai akses pendidikan dengan wujudnya transformasi pendidikan secara pembelajaran dalam talian, radio dan tv pendidikan. Guru-guru pula perlu merebut peluang dengan mengikuti latihan dan bengkel-bengkel secara jarak jauh yang disediakan KPM dan rangkaian organisasinya, malah terdapat pergerakan organik dikalangan guru-guru sendiri samaada melalui NGO, persatuan atau kumpulan-kumpulan di media sosial yang digerakkan guru sendiri berkongsi ilmu melalui siri-siri webinar, persidangan video ataupun melalui penggiat youtuber pendidikan.
Seperti semua perubahan teknologi dan usaha transformasi cabaran terbesar biasanya melibatkan perubahan budaya atau pengurusan. Pembelajaran dalam talian memerlukan disiplin sepertimana pendidikan konvensional juga memerlukan disiplin. Proses pembelajaran akan didigitalkan, konsep tanpa kertas akan menjadi pilihan utama. Perubahan proses ini bermakna semua peringkat perlu mengubah gaya pengurusan pembelajaran. Analisis analitik akan menjadi lebih lazim kerana keupayaan analitik dalam sistem pengurusan pembelajaran untuk mengetahui bahawa terdapat metrik proses pembelajaran dalam talian untuk melihat keberkesanan pembelajaran secara dalam talian.
Kebimbangan terbesar dengan lonjakan pembelajaran digital ini masih berkisar di sekitar jurang digital. Ini dapat dilihat apabila dua lokasi yang berbeza akses internet seperti di bandar mempunyai akses yang lebih baik manakala di pedalaman tiada akses atau akses internet yang perlahan. Sesetengah murid langsung tidak mempunyai akses internet. Masalah jurang digital ini akan muncul di setiap peringkat pendidikan sama ada ianya semudah isu seperti guru atau murid memerlukan webcam atau sesuatu yang lebih besar seperti keperluan akses Internet dan komputer. Isu ini adalah yang paling ketara diperdebatkan. Masalah jurang digital dalam pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia nampak menjadi isu hangat disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan penutupan sekolah.
Secara keseluruhannya daripada sudut positif, pembelajaran secara dalam talian akan terus mendapat lonjakan kerana ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, malah terdapat cadangan kepada KPM untuk terus menutup sekolah walaupun tempoh PKP berakhir, dan hanya pelajar kelas peperiksaan awam seperti UPSR, SPM, STPM sahaja pelajar perlu ke sekolah kerana untuk memastikan jarak selamat 1 meter boleh dilaksanakan di dalam kelas kerana limitasi kapasiti bilik darjah di sekolah. Ucapan terima kasih harus diucapkan kepada semua pendidik yang komited terus memastikan pembelajaran dalam tempoh sukar ini dilaksanakan iaitu proses pengajaran dilakukan tanpa penambahan bajet daripada mana-mana pihak, malah segala peralatan dan kos tanggungan sendiri atas dasar untuk memberikan ilmu terbaik demi agama, bangsa dan negara.
Oleh : Ts. Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid
Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi & Kerjaya, Dewan Muda Johor (DMJ).
*Nota kaki : Gelaran singkatan “Ts.” di pangkal nama atau “P.Tech” selepas nama berdasarkan Akta 768 (Akta Teknologis & Juruteknik 2015). Pengiktirafan “Profesional Technologist” atau bahasa melayunya “Teknologis Berijazah” daripada MBOT (Malaysian Board of Technologist).

Hubungi saya…
Sekiranya mempunyai apa-apa pertanyaan, cadangan, komen boleh hubungi saya dengan apa-apa medium yang bersesuaian. Sila klik butang sebelah untuk maklumat lanjut.